BERITA TERKINI   Kerajaan mahu aktifkan semula pertukaran pelajar, galak pelajar New Zealand ceburi TVET di Malaysia - TPM Ahmad Zahid | Malaysia sedia tambah 100 pelajar tajaan MARA lanjut pengajian ke New Zealand, khususnya bidang teknologi hijau - TPM Ahmad Zahid | KPKM perkenal dua varieti baharu padi, MR CL3 dan MR CL4 untuk tangani isu padi angin - Mohamad | Kerajaan lulus Bayaran Insentif Pakar Pra-Warta kepada pegawai perubatan yang jalani tempoh pengalaman kerja diselia selepas tamat latihan kepakaran - KKM | Eksport, pemindahan dan transit cip AI berprestasi tinggi dari AS kini tertakluk kepada permit perdagangan - MITI | 

Tarif : AS Setuju Adakan Rundingan Lanjut Dengan Malaysia , Kata PM Anwar

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Kerajaan Amerika syarikat (AS) bersetuju untuk berunding lebih lanjut dengan Malaysia mengenai tarif timbal balas mengejut dikenakannya ke atas negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun ini perbincangan awalan, beliau optimis terdapat kemungkinan AS akan mengurangkan kadar tarif timbal balas yang dikenakan ke atas Malaysia.

“Sekali lagi ditegaskan bahawa proses ini masih berada pada peringkat awal, tanpa sebarang persetujuan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak.

“(Pada masa sama) tiada sebarang komitmen muktamad yang telah dibuat oleh Malaysia mahupun pihak AS,” kata beliau pada sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan juga menegaskan segala perbincangan yang sedang berjalan adalah tertakluk di bawah perjanjian kerahsiaan (NDA), selaras dengan amalan antarabangsa apabila isu rundingan melibatkan kepentingan strategik dan sensitif.

“Sekiranya ada cadangan dasar yang memerlukan kelulusan, ia akan melalui proses semakan menyeluruh, termasuk di peringkat Kabinet dan jika perlu, dibentangkan kepada Parlimen,” kata Anwar.

Pada 24 April lepas, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah mengetuai delegasi peringkat tinggi Malaysia ke Washington untuk mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer.

Dalam pertemuan itu, Tengku Zafrul menekankan mengenai kepentingan untuk mengadakan perbincangan secara berterusan selain mengulangi kesediaan Malaysia bagi mengenal pasti jalan penyelesaian secara membina terhadap kebimbangan disuarakan oleh AS.

-- BERNAMA