BERITA TERKINI   Pembangunan solar terapung hidro hibrid dan hab hidrogen hijau di Kenyir berpotensi tarik pelaburan serantau dan antarabangsa – PM Anwar | Pembangunan solar terapung hidro hibrid hab hidrogen hijau di Kenyir buka ruang anak tempatan terima pendidikan TVET oleh Petronas dan TNB - PM Anwar | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi Ketika Dolar AS Susut

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup  tinggi pada Isnin dalam keadaan penyusutan dolar Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata prestasi positif ini bagaimanapun dikekang oleh isyarat ketegangan perdagangan AS-China yang mereda, dengan pelabur memantau rapat tindakan lanjut Rizab Persekutuan (Fed) AS.

“Dengan sentimen antara risiko geopolitik yang mereda dan keputusan mengenai kadar faedah Fed yang akan diumumkan, kenaikan harga emas adalah terhad -- disokong oleh dinamik pasaran mata wang yang dikekang oleh keengganan mengambil risiko.

“Bagaimanapun, cabaran sebenar bagi pasaran emas belum berlaku. Sekiranya Fed memberi isyarat untuk melonggarkan dasar atau jangkaan inflasi melonjak, harga boleh meningkat dengan ketara.

“Buat masa ini, logam ini masih dalam keadaan terbatas, dengan harga yang naik turun sambil berharap terdapat pelonggaran makroekonomi dan dasar monetari yang diperketat berterusan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan hari ini, kontrak bulan semerta Mei 2025 meningkat kepada US$3,315.10 setiap auns troy daripada US$3,288.10 pada Jumaat.

Sementara itu, kontrak Jun 2025, Julai 2025, Ogos 2025 dan Oktober 2025 meningkat kepada US$3,324.50 setiap auns troy berbanding US$3,288.10 sebelum ini.

Jumlah dagangan meningkat kepada 82 lot daripada 33 lot pada Jumaat manakala kepentingan terbuka naik kepada 122 kontrak daripada 40 kontrak sebelum ini.

Berdasarkan penetapan London Bullion Market Association pada  2 Mei, harga emas fizikal sebanyak US$3,249.70 setiap auns troy.

-- BERNAMA