BERITA TERKINI   Laporan semakan insiden letupan saluran gas di Putra Heights diserah kepada Kerajaan Persekutuan bulan lepas - MB Selangor | PM jamin kontraktor kecil berprestasi baik akan diberi lebih banyak kontrak untuk berkembang | Peruntukan perolehan kerja untuk Kementerian Pendidikan dinaikkan daripada RM400 juta kepada RM900 juta - PM Anwar | Guru jadi pempengaruh media sosial perlu jaga adab, hujah berlandaskan fakta - PM Anwar | BN umum tanding di semua 56 kerusi DUN pada pilihan raya negeri Johor akan datang - Onn Hafiz | 

Ar-Rahnu Express Buka Cawangan Ke-10 Di Kelantan

KOTA BHARU, 7 Mei (Bernama) -- Ar-Rahnu Express, jenama pajak gadai patuh syariah di bawah Kumpulan HABIB, melancarkan cawangan ke-10  di Pasar raya Besar Mydin Tunjong di sini hari ini.

Pengerusi Eksekutifnya Datuk Seri Meer Habib berkata cawangan baharu ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk memperluaskan perkhidmatan pajak gadai Islam ke kawasan Pantai Timur, sekali gus memperkukuhkan komitmennya untuk menyediakan perkhidmatan mudah dan pantas kepada pelanggan.

Beliau berkata Ar-Rahnu Express yang ditubuhkan pada 2010 kini mengendalikan enam cawangan di Lembah Klang dan empat cawangan di luar kawasan itu, termasuk yang terbaharu di Mydin Tunjong.

"Cawangan ini berkonsepkan urban minimalis, menawarkan keluasan 1,812 kaki persegi yang memberikan keselesaan maksimum kepada pelanggan termasuk tujuh kaunter privasi dan dua kaunter khas yang dapat menampung dua pelanggan dalam satu masa.

"Selain itu, pelanggan turut menikmati kemudahan seperti mesin layan diri yang menyediakan kopi dan teh secara percuma sementara menunggu giliran, memperlihatkan komitmen Ar-Rahnu Express dalam memastikan pengalaman pelanggan yang lebih selesa dan profesional," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata antara perkhidmatan percuma yang ditawarkan termasuk penilaian emas, berlian dan permata, panduan pengiraan zakat emas, ujian ketulenan emas, serta cucian barang kemas.

"Selain itu, Ar-Rahnu Express juga menyediakan rundingan percuma mengenai proses pajakan emas, bertujuan membantu pelanggan memahami dengan lebih mendalam mengenai perkhidmatan yang ditawarkan.

"Pembukaan cawangan ini merupakan langkah penting dalam strategi Ar-Rahnu Express untuk memperluaskan jaringan cawangannya ke seluruh Malaysia dengan matlamat menjadikan pajak gadai patuh syariah lebih mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat," katanya.

Orang ramai dijemput mengunjungi cawangan ini yang beroperasi setiap hari termasuk hari minggu dan cuti umum, untuk merasai sendiri pengalaman pajakan yang selesa dan profesional. Untuk maklumat lanjut,  pelanggan boleh menghubungi Ar-Rahnu Express Mydin Tunjong di talian 09-743 1185.

-- BERNAMA