BERITA TERKINI   Penganalisis ekonomi Prof Madya Datuk Dr Madeline Berma meninggal dunia di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor pagi tadi - ahli keluarga | PRK DUN Lamag: Mohd Ismail Ayob dipilih calon wakili BN - Pengerusi UMNO Sabah | Ahmad Faizal Azumu umum letak jawatan Pengerusi PN Perak | Azmin Ali letak jawatan sebagai Setiausaha Agung PN | Datuk Dr Sahruddin Jamal umum letak jawatan Pengerusi PN Johor | 

Bank Rakyat Terbit Sukuk Wakalah Senior Bernilai RM1 Bilion

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Bank Rakyat berjaya menerbitkan RM1 bilion Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN) Sukuk Wakalah melalui syarikat tujuan khas (SPV) Imtiaz Sukuk II Bhd.

Terbitan ini dilaksanakan menerusi proses penetapan harga pada 24 April 2025 di bawah Program Sukuk Wakalah Senior sehingga RM10 bilion yang diberikan penarafan AA2 oleh RAM Rating Services Bhd.

Dalam kenyataan, Bank Rakyat berkata terbitan tersebut merangkumi dua bahagian iaitu RM120 juta untuk tempoh lima tahun dan RM880 juta bertempoh tujuh tahun.

Bank Rakyat juga berjaya memperoleh permintaan yang menggalakkan bagi Sukuk Wakalah Senior dengan bidaan sebanyak 1.98 kali daripada jumlah terbitan sebenar.

Jumlah terkumpul daripada terbitan Sukuk Wakalah Senior berkenaan akan dimanfaatkan oleh Bank Rakyat untuk tujuan perbankan patuh Syariah termasuk keperluan modal kerja, perbelanjaan modal, pelaburan umum menyediakan pembiayaan dan tujuan korporat am.

Bank Muamalat Malaysia Bhd, CIMB Investment Bank Bhd, Maybank Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd telah dilantik sebagai pengurus utama bersama untuk terbitan program Sukuk Wakalah tersebut.

-- BERNAMA