BERITA TERKINI   Gempa bumi lemah berukuran 2.5 berlaku di Segamat pada 7.56 malam, gegaran dirasai sekitar Johor - MetMalaysia | Liga Super: Imigresen FC 0-3 JDT | RUU Pekerja Gig 2025 lulus, bukti komitmen Kerajaan MADANI pastikan pekerja Gig terima perlindungan sosial - TPM Ahmad Zahid | Nilai ambang persetujuan dalam RUU Pembaharuan Semula Bandar akan dipinda selepas ambil kira pandangan pelbagai pihak - Nga | Dewan Rakyat lulus Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 | 

Pasaran Getah Malaysia Dijangka Kekal Suram Minggu Depan

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka kekal suram minggu hadapan berikutan permintaan yang cenderung lemah.

Pakar industri Denis Low berkata pasaran getah dilihat mengalami sedikit ketidaktentuan, dengan harga dan permintaan yang bergerak seperti bandul.

Beliau menyifatkan ketidakstabilan itu berpunca dengan ketidaktentuan global yang berlarutan berpunca daripada dasar tarif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

“Ditambah pula dengan fenomena perubahan iklim yang menyebabkan keadaan cuaca tidak menentu di seluruh dunia, ketidaktentuan dijangka berlaku kerana aktiviti penyimpanan dan pengisian semula stok merupakan dua tindakan yang berbeza yang sukar dihadam oleh pasaran getah.

“Pembelian spekulatif atau tanpa pembelian boleh mengganggu dinamik penawaran dan permintaan pasaran,” katanya kepada Bernama.

Dalam perkembangan lain, Low berkata Jabatan Meteorologi Thailand telah meramalkan kejadian ribut musim panas yang akan bermula di wilayah Timur Laut dan merebak ke kebanyakan wilayah lain.

Bagi asas minggu ke minggu, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 2.44 peratus, atau 18 sen kepada 756.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal menurun 0.74 peratus, atau 4.5 sen kepada 604.0 sen sekilogram.

Pasaran getah Kuala Lumpur akan ditutup pada 12 Mei, 2025 (Isnin) sempena cuti umum Hari Wesak dan kembali beroperasi pada 13 Mei.

-- BERNAMA