BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

Ekonomi Terbesar Dunia AS, China Capai Persetujuan Awal Pengurangan Tarif 90 Hari Selepas Rundingan Di Geneva

GENEVA, 12 Mei (Bernama-Anadolu) – Amerika Syarikat (AS) dan China bersetuju melaksanakan pengurangan besar-besaran tarif timbal balik selama 90 hari sebagai langkah awal, sekali gus memberi kelegaan dalam konflik perdagangan berpanjangan antara kedua-dua kuasa ekonomi dan meningkatkan harapan terhadap kestabilan ekonomi jangka panjang, menurut satu kenyataan bersama dikeluarkan AS pada Isnin.

Menurut Anadolu Ajansi (AA), persetujuan itu dicapai susulan rundingan intensif hujung minggu lepas di Geneva, yang menyaksikan kedua-dua negara bersetuju mengurangkan tarif ke atas barangan masing-masing secara signifikan, dengan AS menurunkan tarif ke atas produk dari China daripada 145 peratus kepada 30 peratus, manakala China mengurangkan tarifnya daripada 125 peratus kepada 10 peratus menjelang 14 Mei.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent dan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer mengumumkan kenyataan bersama itu pada sidang media di Geneva.

Walaupun bersifat sementara, perjanjian ini merupakan langkah paling signifikan dalam meredakan ketegangan perdagangan dalam beberapa tahun, sekali gus memberi kelegaan kepada pasaran global yang terjejas akibat ketidaktentuan berbulan-bulan.

Dalam kenyataan bersama itu, kedua-dua kerajaan mengiktiraf kepentingan mewujudkan hubungan perdagangan yang “mampan, berjangka panjang dan saling memanfaatkan.”

Sehubungan itu, kedua-dua pihak akan melancarkan satu mekanisme dialog baharu bagi mengekalkan momentum rundingan, yang akan diketuai oleh Naib Perdana Menteri China, He Lifeng bersama Bessent dan Greer.

Rundingan akan datang boleh diadakan sama ada di China, AS atau negara ketiga bergantung kepada persetujuan bersama, manakala perbincangan teknikal peringkat lebih rendah akan diadakan mengikut keperluan.

Pengumuman mengejut ini dibuat selepas beberapa tahun pelaksanaan tarif timbal balik  yang mengganggu rantaian bekalan global dan mencetuskan kebimbangan ekonomi.

Rundingan di Geneva bermula pada Sabtu lepas, susulan tindakan Presiden AS Donald Trump menaikkan tarif ke atas import dari China kepada 145 peratus, yang dibalas oleh Beijing dengan tarif 125 peratus ke atas barangan AS.

-- BERNAMA-ANADOLU