BERITA TERKINI   PM Anwar umum tambahan RM10 juta kepada Kementerian Perpaduan Negara untuk laksana program kenegaraan | PM Anwar seru rakyat tidak terpengaruh dengan hasutan, fokus usaha majukan negara | Pelan Tindakan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) 2026-2030 dilancar tahun ini, perkuat garis panduan penggunaan AI - Gobind | Lapan hakim Mahkamah Rayuan dan 14 hakim Mahkamah Tinggi yang baru dilantik akan angkat sumpah 28 Julai ini - PM Anwar | Kerajaan lancar Pelan Induk Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang 2026-2035 sebagai panduan pacu pembangunan komuniti Bumiputera Pulau Pinang - PM Anwar | 

Malaysia Kenakan Duti Anti-lambakan Kepada Produk Gulungan Rata Besi Daripada Empat Negara

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Malaysia mengenakan duti anti-lambakan ke atas pengimportan produk gulungan rata besi atau keluli bukan aloi dari China, India, Jepun dan Korea Selatan bagi menentukan kewujudan, tahap dan kesan lambakan yang didakwa daripada negara-negara ini, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menurut MITI, pada 14 Ogos 2024, kerajaan memulakan penyiasatan duti anti-lambakan terhadap import produk gulungan rata besi atau keluli bukan aloi dengan kelebaran 600mm atau lebih, disalut, disadur atau disepuh dengan timah (plat timah elektrolitik atau plat timah) yang berasal atau dieksport dari empat negara ini (dagangan subjek) berdasarkan petisyen yang difailkan oleh Perusahaan Sadur Timah Malaysia Bhd (Perstima).

“Kerajaan telah memuktamadkan siasatan dan mendapati dagangan subjek diimport ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga jualan di negara-negara yang didakwa sehingga menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan yang mengeluarkan produk serupa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MITI berkata sehubungan itu, pengenaan duti anti-lambakan ke atas pengimportan dagangan subjek dari China adalah 4.48 peratus hingga 20.42 peratus, India (27.88 peratus), Jepun (15.74 peratus kepada 36.80 peratus) dan Korea Selatan (21.60 peratus hingga 35.43 peratus).

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menguatkuasakan kutipan duti anti-lambakan ke atas import dagangan subjek ini selama lima tahun mulai 11 Mei 2025 hingga 10 Mei 2030.

“Pengenaan duti anti-lambakan terhadap import dagangan subjek dari negara-negara ini dijangka menangani kesan amalan perdagangan yang tidak adil,” katanya.

Kementerian berkata pihak berkepentingan seperti pengeluar tempatan, pengimport, pengeluar/ pengeksport asing dan persatuan-persatuan berkaitan dengan penyiasatan boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit laporan penentuan muktamad dengan membuat permohonan secara bertulis kepada Pengarah Seksyen Amalan Perdagangan MITI.

-- BERNAMA