BERITA TERKINI   RUU Perolehan Kerajaan tidak sama sekali menambah kuasa, sebaliknya mengehadkan kuasa Menteri Kewangan dengan memperkenalkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh - Amir Hamzah | 98.8 peratus daripada sasaran 500,000 pembinaan rumah mampu milik dicapai dalam RMK12 - PM Anwar | RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu dilaksanakan bagi bina kediaman lebih selesa untuk rakyat - PM Anwar | Kerajaan beri tumpuan kepada projek keutamaan seperti NSS dan JS-SEZ tanpa meminggirkan pembangunan di negeri lain dalam Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 - PM Anwar | Kerajaan pastikan agihan adil kepada negeri untuk pembangunan dan kesalinghubungan digital - PM Anwar | 

VHB Terbit Sukuk Wakalah Hijau Pertama Bernilai RM114 Juta Di Bawah Program RM2 Bilion

KUALA LUMPUR,13 Mei (Bernama) -- Visionary Heritage Bhd (VHB), syarikat tujuan khas yang ditaja oleh ISP Holding Sdn Bhd menyelesaikan terbitan sulung Sukuk Wakalah Hijau ASEAN berjumlah RM114 juta di bawah program Sukuk Wakalah ABS berasaskan aset industri kelestarian bernilai RM2 bilion.

"Terbitan itu merangkumi peringkat kanan dan junior dengan peringkat kanan dilanggan sepenuhnya oleh Public Islamic Bank Bhd sekali gus menandakan keyakinan pelabur yang kukuh terhadap aset asas serta struktur sukuk," kata VHB dalam satu kenyataan hari ini.

CIMB Investment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat utama tunggal, penyusun utama tunggal dan pengurus utama bagi urus niaga berkenaan.

VHB berkata hasil daripada sukuk hijau ini akan digunakan untuk membiayai pemerolehan aset industri utama di Iskandar Puteri, Johor iaitu hab logistik dan industri yang sedang pesat membangun di selatan Malaysia.

Katanya, hartanah itu terdiri daripada tujuh unit kilang merentasi enam blok yang terletak secara strategik berhampiran lebuh raya utama dan dikelilingi oleh kawasan perindustrian terkemuka seperti Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Nusajaya Techpark dan Kluster Perindustrian dan Logistik Selatan (SILC).

Menurut VHB, setiap blok direka bentuk dengan fleksibiliti untuk dipagar secara bebas bagi membolehkan penyusunan berbilang penyewaan yang selamat.

Aset tersebut disewakan sepenuhnya kepada gabungan pelbagai syarikat tempatan yang kukuh, perusahaan dari China dan syarikat multinasional (MNC) sekali gus menyerlahkan permintaan institusi yang kukuh terhadap ruang industri berkualiti, katanya.

"Memandangkan permintaan serantau terhadap pembiayaan hijau terus meningkat, Kumpulan ISP berhasrat memperluaskan portfolio aset industri dan logistik lestarinya dengan memanfaatkan fleksibiliti struktur sukuk wakalah ABS.

"Dengan terbitan sulung ini, ISP mengukuhkan peranannya sebagai peneraju progresif dalam sektor hartanah industri Malaysia selain menggabungkan pertumbuhan dengan kelestarian sebagai teras utamanya," kata VHB.

Kejayaan terbitan pertama di bawah VHB ini menandakan satu pencapaian penting dalam pelan hala tuju pasaran modal ISP yang lebih luas sekali gus membuka laluan kepada terbitan sukuk hijau pada masa hadapan bagi menyokong peluasan kumpulan di peringkat nasional.

-- BERNAMA