BERITA TERKINI   Pembangunan solar terapung hidro hibrid dan hab hidrogen hijau di Kenyir berpotensi tarik pelaburan serantau dan antarabangsa – PM Anwar | Pembangunan solar terapung hidro hibrid hab hidrogen hijau di Kenyir buka ruang anak tempatan terima pendidikan TVET oleh Petronas dan TNB - PM Anwar | Forest Research Institute Malaysia Forest Park Selangor (FRIM FPS) disenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO - MOTAC | 

Unit Keyfield International Peroleh Kontrak AWB Daripada Petronas Carigali

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Keyfield International Bhd (KIB), Keyfield Offshore Sdn Bhd (KOSB), memperoleh pemberian pesanan kerja (WOA) daripada Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) untuk penyediaan bot kerja penginapan (AWB).

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, KIB menjelaskan WOA, bertarikh 11 April, 2025 itu dikeluarkan mengikut kontrak kontraktor panel sedia ada untuk perkhidmatan kapal sokongan luar pesisir.

“Tertakluk kepada hak PCSB berdasarkan WOA itu, ia melibatkan tempoh kira-kira tujuh bulan, dengan pilihan untuk lanjutan selama dua bulan lagi, bermula pada suku kedua 2025,” tambah KIB.

Syarikat itu memaklumkan WOA itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih KIB bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025, tanpa menjejaskan modal saham atau struktur pegangan saham.

“Penerimaan dan pelaksanaan kontrak itu oleh KOSB adalah tertakluk kepada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan operasi perniagaan kami, yang kami mitigasi secara aktif melalui pelbagai prosedur kawalan dalaman,” jelasnya.

KIB juga mengesahkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan dalam kontrak tersebut.

"Lembaga pengarah yakin penerimaan dan pelaksanaan pesanan kerja adalah demi kepentingan terbaik syarikat," menurutnya.

KIB menambah bahawa pengumuman itu dibuat susulan penerimaan kelulusan daripada PCSB untuk mengeluarkan maklumat itu hari ini.

-- BERNAMA