BERITA TERKINI   Pelaburan langsung Malaysia di luar negeri catat aliran keluar bersih lebih rendah bernilai RM12.4 bilion pada 2025 berbanding RM35.5 bilion pada 2024 - DoSM | Jumlah pelaburan langsung Malaysia di luar negeri sebanyak RM589.3 bilion pada akhir 2025 atau 29.1 peratus daripada KDNK berbanding 32.2 peratus pada 2024 - DoSM | FDI Malaysia meningkat 41.2 peratus kepada RM65.9 bilion pada 2025 daripada RM46.7 bilion pada 2024 - DoSM | FDI terkumpul meningkat kepada RM1.09 trilion pada akhir 2025, menyumbang 53.7 peratus daripada KDNK - DoSM | Sektor 'Advanced Air Mobility' dan dron dijangka berkembang pesat dengan pelaburan bernilai berbilion dolar - Loke | 

Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, disokong oleh sentimen risiko yang bertambah baik susulan data inflasi AS yang lebih rendah daripada jangkaan dan penyusutan hasil perbendaharaan AS.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu meningkat kepada 4.2840/2910 berbanding dolar AS 4.3185/3250 ketika ditutup pada Selasa.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit mengukuh hari ini selepas hasil AS yang menyusut berikutan laporan inflasi yang lemah daripada jangkaan, memberikan ruang mata wang Asia termasuk ringgit untuk pulih.

"Ketika kadar faedah jangka panjang AS kekal tinggi, pasaran dilihat menilai semula unjuran inflasi, berikutan tekanan harga yang dijangka daripada pengumuman berkaitan tarif baru-baru ini belum menjadi kenyataan.

"Tarif import baharu Presiden AS Donald Trump dijangka mencetuskan peningkatan harga, namun data inflasi April menunjukkan tiada peningkatan harga yang ketara dalam kategori yang mungkin terjejas," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pasaran pertukaran asing lemah hari ini, dengan pergerakan kebanyakkannya didorong oleh faktor luaran berbanding perkembangan dalam negara.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama.

Ia menyusut berbanding yen Jepun kepada  2.9373/9425 daripada 2.9181/9227, turun berbanding euro kepada 4.8204/8282 daripada 4.7961/8033 dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.7191/7285 daripada 5.7056/7142 sebelum itu.

Mata wang tempatan itu bagaimanapun diniagakan tinggi berbanding mata wang negara jiran ASEAN.

Ringgit menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.3045/3104 daripada 3.3084/3137 semalam, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 258.6/259.2 daripada 259.7/260.2 dan melonjak berbanding baht Thai kepada 12.8920/9208 daripada 12.9958/13.0240.

Ia menokok berbanding peso Filipina kepada 7.66/7.68 daripada 7.74/7.76.

-- BERNAMA