BERITA TERKINI   ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | Perjanjian FTA ASEAN-China 3.0 yang bakal dimeterai akhir tahun ini perkukuh kerjasama ekonomi, daya tahan rantau ini - Mohamad Hasan | Hubungan dialog ASEAN dengan China antara perkongsian paling substantif, dinamik - Mohamad Hasan | ASEAN gesa semua pihak urus situasi di Laut China Selatan secara berhemah, hati-hati - Mohamad Hasan | Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov tiba di Malaysia untuk mesyuarat ASEAN peringkat tinggi | 

Ringgit Ditutup Sedikit Tinggi Berbanding Dolar AS, Dirangsang Permintaan Sederhana

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Ringgit ditutup sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, dirangsang oleh permintaan sederhana, apabila pelabur kekal berhati-hati di samping memantau perkembangan ekonomi yang berterusan.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2795/2870 berbanding dolar AS daripada 4.2840/2910 semalam.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata ringgit kekal sebahagian besarnya dalam zon neutral.

“Sementara itu, sentimen serantau secara keseluruhannya kelihatan cenderung kepada mata wang negara Asia yang lebih kukuh, walaupun pasaran tempatan masih belum menunjukkan hala tuju yang jelas,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata won Korea mencatatkan lonjakan ketara, didorong oleh spekulasi bahawa pengukuhan mata wang itu -- dan seterusnya, penyusutan dolar AS -- mungkin berkait dengan perbincangan perdagangan yang sedang berlangsung antara AS dan Korea Selatan.

“Walaupun belum ada pengesahan rasmi namun, para peserta pasaran semakin banyak berspekulasi bahawa AS mungkin secara senyap membenarkan mata wangnya mengalami penurunan berbanding mata wang negara Asia,” katanya.

Innes berkata bagaimanapun, ringgit menunjukkan reaksi yang terhad terhadap perkembangan itu.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9326/9379 daripada 2.9373/9425 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding euro kepada 4.7939/8023 daripada 4.8204/8282.

Unit domestik juga tinggi berbanding pound British kepada 5.6862/6961 daripada 5.7191/7285.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang tempatan lebih stabil berbanding dolar Singapura kepada 3.2950/3010 daripada 3.3045/3104 ketika ditutup pada Rabu, dan lebih tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.8198/8488 daripada 12.8920/9208.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding rupiah Indonesia kepada 258.8/259.4 daripada 258.6/259.2 dan turun berbanding peso Filipina kepada 7.67/7.69 daripada 7.66/7.68.

-- BERNAMA