BERITA TERKINI   Kontrak penganjuran MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang dilanjutkan lima tahun hingga 2031 - Menteri KBS | Malaysia perlu persiapkan tenaga kerja hadapi era AI melalui pendidikan lebih berkualiti, latihan kemahiran dan pembangunan bakat - PM Anwar | Keputusan Ant International wujudkan pusat operasi globalnya di Malaysia cerminkan keyakinan meningkat terhadap kekuatan negara dalam bidang teknologi, inovasi dan AI - PM Anwar | Teknologi, kewangan dan inovasi perlu wujudkan pekerjaan berkualiti, memperkukuh industri tempatan, menyokong perniagaan dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan mampu milik - PM Anwar | Lebih 59,000 bekas pelajar tajaan JPA yang tamat pengajian pada atau sebelum 31 Dis 2024 layak memohon Opsyen PBU Akademik Fasa Kedua - JPA | 

Prospek Makroekonomi, Pembaharuan Struktur Beri Sokongan Kepada Ringgit - Gabenor BNM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Prospek makroekonomi Malaysia yang positif dan pelaksanaan pembaharuan struktur yang berterusan akan memberikan sokongan jangka sederhana kepada ringgit, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata faktor luaran dijangka terus mempengaruhi kadar pertukaran ringgit. 

“BNM kekal komited untuk memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi dengan teratur,” katanya ketika mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2025 di sini hari ini. 

Pada suku pertama 2025, ringgit kekal stabil secara keseluruhan.

Kadar pertukaran efektif nominal (NEER) berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia meningkat sedikit sebanyak 0.01 peratus.

Beliau berkata ringgit turut menambah nilai sebanyak 0.8 peratus berbanding dolar AS dan pergerakan ini didorong terutamanya oleh dolar AS yang melemah kerana ketidakpastian berhubung dasar perdagangan AS yang semakin meningkat.

“Hal ini menyebabkan peningkatan jangkaan terhadap pertumbuhan ekonomi AS yang lebih perlahan,” katanya.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.2705/2920 berbanding dolar AS daripada 4.2795/2870 pada Khamis.

-- BERNAMA