BERITA TERKINI   Kerjasama itu membuka ruang penglibatan lebih strategik pada masa depan termasuk penerokaan potensi besar sektor gas asli Turkmenistan, antara pemilik rizab gas terbesar dunia - PMO | PM Anwar, Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov hari ini saksikan pemeteraian kerjasama strategik antara Petronas dan pihak berkuasa Turkmenistan - PMO | Pencapaian ini hadir sempena 30 tahun kerjasama Malaysia, Turkmenistan dalam sektor tenaga, yang menjadi antara tonggak penting hubungan dua hala kedua-dua negara - PMO | Kerjasama strategik antara Petronas, pihak berkuasa Turkmenistan buka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi dan tenaga antara Malaysia dan Turkmenistan - PMO | Ahli Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) negeri terima sumbangan RM10,000, GKMM terima RM30,000 - Fahmi | 

IMFC-J Berhasil Mudah Cara Lima Projek Bernilai RM16.5 Bilion Dalam JS-SEZ Setakat Ini

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Lima projek pelaburan utama dipermudah sepenuhnya melalui Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) setakat ini, mewakili pelaburan komited RM16.5 bilion di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata IMFC-J kini sedang aktif melakukan libat urus dengan 47 lagi pelabur, dengan potensi pelaburan bernilai RM40.1 bilion, merentas sektor utama seperti pembuatan, pusat data dan tenaga daripada pasaran utama seperti Singapura, China dan Korea Selatan.

“Dalam tempoh hanya kira-kira dua bulan sejak dilancarkan, IMFC-J telah menerima lebih 300 pertanyaan pelabur, dengan 100 daripadanya tertumpu kepada Zon Kewangan Khas Forest City sahaja.

“Bagaimanapun, sebagai pemudah cara, tugas IMFC-J juga adalah mengubah minat sebenar kepada pelaburan sebenar, dan itulah yang dilaksanakannya,” katanya semasa berucap merasmikan forum “JS-SEZ Partners Dialogue: Advancing Facilitation” di sini, hari ini.

IMFC-J dilancarkan pada Februari lepas  dengan kerjasama rakan Persekutuan, diketuai dan dikendalikan bersama oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Invest Johor, dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mempercepat usaha pelabur dalam JS-SEZ.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata Johor merekodkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM27.4 bilion pada suku pertama 2025 -- pencapaian tertinggi dalam sejarahnya -- berbanding tempoh sembilan bulan yang diambil untuk mencapai jumlah yang sama pada 2024.

“Kami pada masa ini mempunyai perancangan pelaburan bernilai RM23 bilion, dijangka menjadi kenyataan menjelang akhir suku ini.

“Jika nilai ini kekal, kami yakin angka itu akan kekal sedemikian, Johor akan merekodkan jumlah pelaburan melebihi RM50 bilion hingga RM60 bilion pada 2025, melepasi RM48.5 bilion  yang dicatatkan tahun lepas -- ini akan meletakkan Johor sebagai tiga destinasi pelaburan paling utama di Malaysia sekali lagi,” katanya.

-- BERNAMA