BERITA TERKINI   Wartawan perlu dibenarkan bekerja secara profesional dengan pendekatan lebih berhemah oleh pihak berkuasa - Teo Nie Ching | Pihak berkuasa harus mengutamakan dialog berbanding penahanan dan menyelesaikan pertikaian melalui Majlis Media Malaysia untuk menambah baik perundangan kewartawanan -Teo Nie Ching | Forum Media HAWANA penting, memberi ruang untuk mencorakkan masa depan kewartawanan - Teo Nie Ching | Tabung Kasih@HAWANA beri manfaat kepada 728 pengamal media, jumlah sumbangan sebanyak RM1.94 juta setakat 30 April 2026 - Teo Nie Ching | Cabaran dalam industri media hari ini memerlukan respons bersama melalui dialog, perkongsian dan komitmen kolektif - KPE Bernama | 

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah semasa akhir sesi dagangan pagi pada Selasa berikutan ketiadaan petunjuk baharu.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.52 mata atau 0.42 peratus kepada 1,549.62 daripada 1,556.14 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.78 mata lebih tinggi kepada 1,556.92 dan bergerak antara 1,548.51 hingga 1,561.10 sepanjang sesi dagangan itu.

Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 440 berbanding 393, manakala 448 kaunter tidak berubah, 1,128 kaunter tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 1.61 bilion saham bernilai RM853.26 juta.

Menurut Rakuten Trade Sdn Bhd pihaknya menjangkakan indeks penanda aras mengalami keadaan tidak banyak berubah, berjulat 1,550 hingga 1,580 dalam jangka masa sederhana.

“Kami juga menjangkakan indeks itu berlegar dalam julat 1,550 hingga 1,560 hari ini,” tambahnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Antara saham berwajaran tinggi, TNB naik dua sen kepada RM14.12, Press Metal menambah satu sen kepada RM4.97, CIMB dan Hong Leong Bank masing-masing kekal mendatar pada RM7.10 dan RM19.90 manakala Maybank susut 10 sen kepada RM10.08 dan Public Bank kurang satu sen kepada RM4.48.

Bagi saham aktif, PEOPLElogy yang baru disenaraikan di Pasaran ACE dan Tanco masing-masing menokok setengah sen kepada 25.5 sen dan 94.5 sen, Velesto kekal pada 16.5 sen, dan Permaju turun setengah sen kepada tiga sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas kurang 27.49 mata kepada 11,565.85, Indeks FBMT 100 menguncup 30.59 mata kepada 11,320.23, dan Indeks FBM Emas Syariah susut 26.51 mata kepada 11,461.48.

Indeks FBM ACE turun 6.84 mata kepada 4,640.10, manakala Indeks FBM 70 meningkat 23.50 mata kepada 16,409.21.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 59.31 mata kepada 18,299.69, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.97 mata kepada 155.53, Indeks Perladangan menguncup 17.62 mata kepada 7,308.47 namun, Indeks Tenaga menambah 5.50 mata kepada 713.0.

-- BERNAMA