BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

SFC, SSL Meterai Perjanjian Tingkat Kemudahan Di Taman Negara Niah, Tanjung Datu

KUCHING, 21 Mei (Bernama) -- Kemudahan pelancongan di dua kawasan dilindungi yang ikonik di Sarawak iaitu Taman Negara Niah dan Taman Negara Tanjung Datu bakal berwajah baharu susulan pemeteraian perjanjian konsesi selama 20 tahun antara Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Sutera Sanctuary Lodges (SSL) hari ini.

Pengurus Besar SFC Abang Arabi Abang Aimran dan Presiden SSL Datuk Zarazilah Mohd Ali menandatangani perjanjian itu dalam satu majlis di sini yang disaksikan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Perjanjian berkenaan yang mempunyai pilihan lanjutan selama 20 tahun akan menyaksikan SSL mengambil alih pengurusan dan penambahbaikan perkhidmatan pelancongan di kedua-dua taman negara berkenaan.

SFC dalam kenyataan memaklumkan SSL akan memulakan kerja-kerja pengubahsuaian di Taman Negara Niah pada akhir tahun ini termasuk pembinaan kemudahan penginapan baharu, restoran, kolam renang dan bar, sambil mengekalkan warisan arkeologi dan semula jadi Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu yang berusia 40,000 tahun.

Bagi Taman Negara Tanjung Datu yang terletak di selatan Sarawak, SSL akan membangunkan sebuah lokasi percutian butik berkonsepkan ekologi yang menampilkan vila persendirian, spa, restoran dan pelbagai kemudahan premium lain dalam tempoh tiga tahun akan datang, berpandukan kepada reka bentuk berimpak rendah dan mampan.

“Kerjasama awam-swasta ini merupakan satu pencapaian penting dalam komitmen Sarawak terhadap pelancongan bertanggungjawab, pengurusan kawasan perlindungan yang lebih baik serta memperkasakan komuniti setempat melalui ekopelancongan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA