BERITA TERKINI   ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | Perjanjian FTA ASEAN-China 3.0 yang bakal dimeterai akhir tahun ini perkukuh kerjasama ekonomi, daya tahan rantau ini - Mohamad Hasan | Hubungan dialog ASEAN dengan China antara perkongsian paling substantif, dinamik - Mohamad Hasan | ASEAN gesa semua pihak urus situasi di Laut China Selatan secara berhemah, hati-hati - Mohamad Hasan | Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov tiba di Malaysia untuk mesyuarat ASEAN peringkat tinggi | 

China, ASEAN Muktamadkan Rundingan CAFTA 3.0 - Kementerian Perdagangan China

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

BEIJING, 22 Mei (Bernama) -- China dan ASEAN secara rasminya memuktamadkan rundingan mengenai Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) Versi 3.0, kata Kementerian Perdagangan China.

Menurut kementerian, kedua-dua pihak telah menyelesaikan rundingan mengenai peruntukan yang masih belum dimuktamadkan dalam protokol yang dinaik taraf pada Rabu, termasuk aspek penting mengenai ekonomi digital sekali gus menunjukkan langkah penting ke hadapan dalam integrasi ekonomi serantau.

Rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas yang dinaik taraf ini dimulakan pada 2022.

Pada Oktober 2024, China dan ASEAN bersama-sama mengisytiharkan pemuktamadan penting mengenai rundingan berkenaan dalam mesyuarat yang diadakan di Vientiane, Laos.

“Perjanjian yang dinaik taraf itu akan menyuntik momentum baharu kepada pemulihan ekonomi serantau dan menghantar mesej padu dalam menyokong perdagangan bebas dan kerjasama terbuka,” katanya dalam kenyataan.

Memetik kenyataan yang dilaporkan oleh China Daily, naik taraf Versi 3.0 itu dijangka memberi tumpuan untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor baharu seperti ekonomi digital, pembangunan hijau, kesalinghubungan rantaian bekalan dan kemudahan perdagangan.

Menurutnya China dan ASEAN kekal sebagai rakan perdagangan terbesar antara satu sama lain dan rakan pelaburan utama serta penyokong kuat globalisasi ekonomi dan fahaman pelbagai hala.

“Rangka kerja CAFTA yang dinaik taraf ini dijangka dimuktamadkan dan ditandatangani dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya.

-- BERNAMA