BERITA TERKINI   ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | Perjanjian FTA ASEAN-China 3.0 yang bakal dimeterai akhir tahun ini perkukuh kerjasama ekonomi, daya tahan rantau ini - Mohamad Hasan | Hubungan dialog ASEAN dengan China antara perkongsian paling substantif, dinamik - Mohamad Hasan | ASEAN gesa semua pihak urus situasi di Laut China Selatan secara berhemah, hati-hati - Mohamad Hasan | Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov tiba di Malaysia untuk mesyuarat ASEAN peringkat tinggi | 

Untung Bersih Suku Pertama Sunway Meningkat Kepada RM190.55 Juta

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Sunway Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM190.55 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, peningkatan 11 peratus daripada RM172.22 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Perolehan turut meningkat sebanyak 67 peratus kepada RM2.36 bilion daripada RM1.41 bilion sebelum ini terutamanya berikutan sumbangan yang lebih tinggi daripada seluruh segmen perniagaan kecuali pembangunan hartanah.

Bagaimanapun, perbelanjaan operasi meningkat 69 peratus kepada RM2.19 bilion pada suku pertama 2025 daripada RM1.30 bilion pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sunway berkata segmen pembangunan hartanah merekodkan perolehan sebanyak RM263.3 juta berbanding RM287.7 juta pada suku pertama 2024 berikutan pengebilan berdasarkan kemajuan yang lebih rendah daripada projek pembangunan tempatan dan luar negara.

“Selaras dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 15, keuntungan pembangunan melalui satu daripada projek pembangunan hartanah Singapura yang sedang dijalankan kumpulan itu hanya akan diiktiraf selepas projek berkenaan siap dan diserahkan.

"Oleh itu, keuntungan progresif terkumpul bagi projek ini berjumlah RM12.2 juta pada akhir suku semasa tidak diiktiraf," katanya.

Tanpa mengambil kira sebarang keadaan luar dijangka, lembaga pengarah yakin Sunway akan berhati-hati mengharungi cabaran berkaitan tarif dan ketidaktentuan dasar.

Menurutnya prestasi kumpulan bagi tahun ini dijangka kekal kukuh.

-- BERNAMA