BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Batu Kawan Catat Keuntungan Bersih Sebanyak RM87.88 Juta

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Batu Kawan Bhd melonjak kepada RM87.88 juta untuk suku kedua berakhir pada 31 Mac 2025 berbanding hanya RM84.72 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.

Perolehan bagi suku tersebut meningkat kepada RM6.50 bilion daripada RM5.66 bilion susulan kenaikan keuntungan dalam segmen perladangannya.

Kumpulan tersebut melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata keuntungan dalam segmen perladangannya meningkat sebanyak 26 peratus kepada RM460.73 juta berbanding dengan RM365.76 juta yang disaksikan semasa suku kedua 2024. 

Ini disebabkan oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi dan harga jualan kernel sawit yang direalisasikan, ditambah pula dengan keuntungan bersih sebanyak RM2.28 juta daripada perubahan nilai saksama pada kontrak derivatif yang tertunggak, katanya.

Bagaimanapun, syarikat itu berkata kenaikan keuntungan ini, sebahagiannya telah diimbangi oleh penurunan dalam jumlah jualan MSM serta kernel sawit selain kehilangan nilai saksama sebanyak RM53.42 juta pada penilaian tandan buah segar yang tidak dituai.

Sementara itu, untuk separuh pertama berakhir pada 31 Mac 2025, Batu Kawan mencatatkan keuntungan bersih yang lebih baik iaitu sebanyak RM215.48 juta berbanding RM196.45 juta pada separuh pertama 2024, manakala pendapatan menokok kepada RM12.63 bilion daripada RM11.49 bilion sebelumnya.

Segmen perladangan kumpulan terus menjadi pemacu pendapatan utama. Bagaimanapun, memandangkan prospek makroekonomi yang mencabar dan turun naik dalam pasaran komoditi berikutan perkembangan tarif baru-baru ini, kumpulan itu tetap berhati-hati terhadap prospek untuk baki tahun kewangan 2025.

Ia juga menjangkakan harga MSM akan melemah dalam lingkungan RM3,800 hingga RM4,200 satu tan.

 

-- BERNAMA