BERITA TERKINI   Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Menteri Ekonomi ASEAN Bimbang Kemajuan Perlahan Berkaitan FTA ASEAN-India

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Kalangan menteri ekonomi ASEAN menyuarakan kebimbangan mengenai kemajuan yang perlahan berkaitan perjanjian perdagangan bebas (FTA) blok ini dengan India, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Kita bimbang FTA ASEAN-India tidak bergerak secepat seperti yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berakhirnya mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-25 yang diadakan di luar jadual Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Perincian mengenai kemajuan yang perlahan itu tidak dimaklumkan.

Perjanjian Rangka Kerja ASEAN-India mengenai Kerjasama Ekonomi Komprehensif telah dimeterai semasa Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-2 pada 2003 -- perjanjian rangka kerja itu menetapkan asas yang kukuh bagi pewujudan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-India, yang merangkumi barangan, perkhidmatan dan pelaburan.

Selepas itu, pemeteraian Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) disempurnakan pada 13 Ogos, 2009 di Bangkok dan mula berkuat kuasa pada 1 Jan, 2010.

ASEAN ialah rakan dagang ketujuh terbesar India dengan jumlah perdagangan melebihi US$130 bilion (US$1=RM4.23) pada 2023, merangkumi nilai eksport US$44 bilion manakala import pada US$87 bilion.

Mesyuarat AECC ke-25 yang dipengerusikan oleh Tengku Zafrul itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong; Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei Datuk Awang Mohd Amin Liew Abdullah; Menteri Perdagangan Kemboja Cham Nimul; Menteri Industri dan Perdagangan Vietnam Nguyen Hong Dien; Menteri Perdagangan Indonesia Budi Santoso; dan Menteri Industri dan Perdagangan Laos Malaithong Kommasith.

Wakil lain yang menghadiri mesyuarat itu ialah Setiausaha Rendah Jabatan Perdagangan dan Industri Filipina Allan B. Gepty; Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong; Menteri Perdagangan Thailand Pichai Naripthaphan; dan Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste Francisco Kalbuadi Lay.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 dan 27 Mei ini di KLCC.

Acara itu diadakan bersama dua sidang kemuncak utama lain, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, sebagai platform penting memperluas kerjasama serantau dan antara rantau.

Sepanjang menjadi anggota dalam blok 10 negara ini, Malaysia telah mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA