BERITA TERKINI   China akan tandatangan Perjanjian SEANWFZ sebaik sahaja semua dokumen lengkap - Mohamad Hasan | Pelantikan hakim mahkamah atasan perlu ditangani dengan cermat, elak dipolitikkan - Istana Negara | Menteri Luar Australia umum program pembangunan AU$1.28 bilion untuk ASEAN bagi menyerap impak pemotongan dana USAID | CAAM sahkan kemalangan helikopter polis jenis AS355 berhampiran Sungai Pulai di Gelang Patah, Johor pagi ini, lima mangsa selamat | ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | 

Malaysia Pada Kedudukan Strategik Pacu Perdagangan Rentas Wilayah - Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memacu perdagangan rentas wilayah, memperkukuh rantaian bekalan serantau dan memajukan pembangunan infrastruktur yang mampan, mengambil kira skala ekonomi gabungan ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China yang sangat besar.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata skala ekonomi gabungan ASEAN, GCC dan China kini mencecah hampir US$25 trilion dan populasi berjumlah lebih dua bilion orang.

Beliau berkata demikian menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri disiarkan di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Justeru, Tunku Nashrul berkata sidang kemuncak trilateral antara ketiganya yang berlangsung esok, bakal merangka strategi baharu dalam perdagangan, pelaburan, pembangunan, infrastruktur mampan dan digitalisasi rantau.

"Sidang Kemuncak trilateral antara ASEAN, GCC dan China adalah inisiatif baharu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi tiga hala antara ASEAN, GCC dan China, kesemuanya dijadualkan berlangsung esok (27 Mei) dan diketuai oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

"ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar dunia dengan jumlah Keluaran Dalam Negara kKasar (KDNK) US$3.8 trilion manakala China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan dua hala berjumlah US$696.7 billion," katanya.

Tunku Nashrul berkata penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 ini menjadi medan untuk Malaysia menyelaras agenda pembangunan Komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Melalui kepengerusian ini, Malaysia berpeluang memperkukuh kerjasama diplomatik dan ekonomi serantau, termasuk dengan rakan dialog seperti GCC dan China, katanya.

Antara pemimpin tertinggi dijangka hadir pada sidang kemuncak trilateral diadakan pertama kali itu ialah Perdana Menteri China Li Qiang, Ahli Majlis Tertinggi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Ras Al Khaimah (RAK) Sheikh Saud bin Saqr Al Qasimi dan Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah.

Sidang kemuncak trilateral tersebut adalah antara acara dianjur sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

-- BERNAMA