BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

FGV Gantung Dagangan, ICT Zone Pindah Dari Pasaran ACE Pada 3 Jun - Bursa

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd telah meluluskan permohonan FGV Holdings Bhd (FGV) untuk penggantungan dagangan sahamnya berkuat kuasa Isnin, 26 Mei bermula 9 pagi hingga 5 petang, sementara menunggu pengumuman penting.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, FGV berkata permohonan penggantungan itu dibuat di bawah subperenggan 3.1(b) Nota Amalan 2 mengenai Permohonan Penggantungan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities.

Harga saham terakhir FGV didagangkan ialah RM1.26, bernilai RM4.7 bilion kepada syarikat. 

Pada Jumaat lepas, FGV mengumumkan ia akan mengambil alih sepenuhnya pemilikan lapan anak syarikat menerusi pembelian saham berjumlah RM229.75 juta daripada Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF).

Ia bertujuan menyelaras operasi perniagaannya dan memudahkan proses membuat keputusan yang lebih pantas, seiring dengan hala tuju strategik kumpulan itu.

Sementara itu, dalam makluman berasingan, ICT Zone Asia Bhd (ICT Zone) berkata penggantungan sahamnya daripada dagangan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia Securities bermula 28 Mei, 9 pagi, adalah mengikut Peraturan 8.02(1) Keperluan Penyenaraian Pasaran LEAP (LEAP LR). 

Berikutan penggantungan itu, keseluruhan modal saham terbitan ICT Zone akan dikeluarkan secara rasmi dari Pasaran LEAP pada 3 Jun, 9 pagi, mengikut Peraturan 8.05 dan 8.06 LEAP LR, bagi memudahkan pemindahan keseluruhan saham terbitan ICT Zone dari Pasaran LEAP ke Pasaran ACE.

Sebelum ini, ICT Zone melaporkan bahawa tawaran awam permulaannya telah terlebih langganan sebanyak 1.89 kali dari pelabur awam, menjelang penyenaraianya di Pasaran ACE pada 3 Jun, yang menawarkan keseluruhan 154 juta saham, meliputi 133 juta saham baharu dan tawaran jualan 21 juta saham.

-- BERNAMA