BERITA TERKINI   Polis buka kertas siasatan susulan laporan palsu kemangkatan Sultan Kelantan - Ketua Polis Kelantan | Kerajaan pertimbang wajibkan label ‘AI generated’ bagi kandungan digital di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian - Fahmi | Pihak berkuasa perlu siasat kesahihan dokumen minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang tular - Fahmi | Bangkai helikopter PDRM yang terhempas di Sungai Pulai dijangka dinaikkan esok atau lusa dengan bantuan TLDM dan APMM - Komander PGU  | 

AmBank Group Catat Untung Bersih RM2 Bilion Bagi Tahun Kewangan 2025

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) mencatatkan peningkatan 7.1 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM2.0 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2025 (TK2025), berbanding RM1.87 bilion pada tahun sebelumnya.

Hasil turut meningkat kepada RM4.93 bilion berbanding RM4.65 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, AmBank Group berkata pendapatan faedah bersihnya meningkat 8.0 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM3.56 bilion, didorong terutamanya oleh pengembangan margin faedah bersih sebanyak 15 mata asas kepada 1.94 peratus, serta pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan sebanyak 3.5 peratus dari tahun ke tahun.

“Pendapatan bukan faedah meningkat 1.3 peratus tahun ke tahun kepada RM1.35 bilion yang disebabkan oleh pendapatan yuran yang lebih tinggi daripada perbankan perniagaan, pengurusan kekayaan runcit, dana, pembrokeran saham, perbankan swasta dan pasaran modal ekuiti, serta prestasi kukuh daripada perniagaan insurans, sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan dagangan yang lebih rendah daripada perbendaharaan dan pasaran kumpulan,” katanya.

Kumpulan itu berkata bahawa jumlah perbelanjaan keseluruhan meningkat 7.1 peratus tahun ke tahun kepada RM2.19 bilion, terutamanya disebabkan oleh kos kakitangan dan pengkomputeran yang lebih tinggi. Nisbah kos kepada pendapatan berada pada paras 44.6 peratus.

Bagi suku keempat berakhir 31 Mac, 2025 (S4 2025), keuntungan bersih AmBank Group meningkat kepada RM513.93 juta berbanding RM476.54 juta pada suku yang sama tahun lalu, manakala hasil meningkat kepada RM1.28 bilion daripada RM1.17 bilion sebelum ini.

Sehubungan itu, kumpulan berkenaan mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 19.9 sen sesaham bagi suku keempat 2025.

Bersama dengan dividen interim sebanyak 10.3 sen sesaham yang telah diisytiharkan pada suku kedua 2025 (S2 2025), jumlah keseluruhan dividen bagi tahun kewangan 2025 (TK2025) adalah sebanyak 30.2 sen sesaham, meningkat 34 peratus tahun ke tahun, dengan nisbah bayaran dividen sebanyak 50 peratus.

AmBank Group berkata pinjaman tertunggak dalam industri meningkat secara purata sebanyak 5.4 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2025 (S1 2025), dengan pinjaman isi rumah berkembang secara purata sebanyak 6.0 peratus, manakala pinjaman bukan isi rumah meningkat sebanyak 4.5 peratus.

Ia berkata sistem perbankan kekal berdaya modal tinggi dengan mudah tunai yang mencukupi, seperti yang ditunjukkan oleh nisbah liputan mudah tunai sebanyak 151.6 peratus pada Mac.

Kumpulan itu menambah nisbah pinjaman kepada dana dan nisbah pinjaman kepada dana dan ekuiti  kekal stabil masing-masing pada paras 83.8 peratus dan 72.9 peratus setakat bulan berkenaan.

“Memandangkan peningkatan risiko yang berpunca daripada perubahan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS), kami cenderung terhadap pemotongan kadar sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.75 peratus pada separuh kedua tahun kewangan 2025, mungkin awal daripada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang seterusnya pada 9 Julai, 2025.

“Ini bertepatan dengan tamatnya tempoh penangguhan selama 90 hari ke atas tarif timbal balik AS. Bagaimanapun, sebarang pemotongan kadar yang dilakukan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai permulaan kitaran pelonggaran yang agresif,” katanya.

Kumpulan perbankan itu berpendapat bahawa Bank Negara Malaysia akan sentiasa mengekalkan pendekatan yang berhati-hati terhadap pelonggaran dasar monetari bagi mengekalkan kestabilan mata wang dan pasaran kewangan.

-- BERNAMA