MNRB Holdings Catat Untung Bersih RM394.20 Juta Bagi TK2025, Mencerminkan Daya Tahan
KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- MNRB Holdings Bhd (MNRB Holdings) mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM394.20 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (TK2025), berbanding RM433.54 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, perolehan meningkat kepada RM3.63 bilion pada TK2025, iaitu meningkat 3.5 peratus daripada RM3.51 bilion sebelumnya, berikutan peningkatan perolehan dalam insurans/takaful yang disumbangkan oleh perniagaan insurans semula dan takaful am.
“Ia telah diimbangi oleh kemerosotan dalam perniagaan takaful semula. Peningkatan ini turut disumbangkan oleh pendapatan pelaburan yang lebih baik.
“Jumlah perolehan bagi segmen ini meningkat sebanyak RM98.3 juta atau 5.2 peratus, terutamanya disumbangkan oleh peningkatan dalam hasil insurans daripada penyerahan sukarela dan portfolio perjanjian domestik serta pendapatan pelaburan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
MNRB Holdings berkata perolehan segmen perniagaan takaful amnya dicatatkan pada RM918.2 juta, mewakili peningkatan sebanyak RM74.8 juta atau 8.9 peratus, didorong oleh pertumbuhan dalam hasil takaful daripada portfolio motor dan kebakaran.
Perolehan dalam segmen perniagaan takaful keluarga turut meningkat sebanyak RM1 juta kepada RM650.50 juta.
Bagi suku keempat berakhir 31 Mac, 2025 (S4 TK2025) keuntungan bersih kumpulan susut kepada RM93.40 juta daripada RM237.82 juta dalam suku yang sama tahun lepas, manakala perolehan merosot kepada RM921.91 juta daripada RM1.04 bilion sebelumnya.
Mengenai prospek, syarikat itu berkata pada 2025, industri takaful di Malaysia dijangka terus berkembang, disokong oleh peningkatan permintaan dalam penyelesaian patuh syariah dan inisiatif yang kukuh daripada kerajaan.
Antara inisiatif utamanya ialah Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026, Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan program digital sandbox, yang mempromosikan rangkuman, inovasi dan tawaran sejajar dengan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Kumpulan juga kekal komited untuk mencapai status sifar karbon menjelang 2050, mengimbangan prestasi ekonomi kami dengan amalan ESG.
“Ia akan dilaksanakan menerusi pelan hala tuju kemampanan kami, selain keperluan kawal selia yang berkaitan dan amalan terbaik,” katanya.
-- BERNAMA