Hasil Yang Lebih Rendah Jejaskan Pendapatan Suku Pertama MISC

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih MISC Bhd berkurangan kepada RM705.70 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 berbanding RM759.90 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini berikutan pendapatan yang lebih rendah untuk suku tersebut. 

Perolehan bagi suku tahun ini merosot kepada RM2.82 bilion daripada RM3.64 bilion dari tahun ke tahun, kesan berikutan kemerosotan pendapatan daripada segmen kejuruteraan marin dan berat sebanyak 54.0 peratus.

Segmen tersebut mencatatkan pendapatan sebanyak RM453.1 juta iaitu RM531.4 juta lebih rendah berbanding pendapatan suku tahunan yang sama sebanyak RM984.5 juta susulan penurunan pendapatan daripada projek-projek kejuruteraan berat yang sedang berjalan.

"Ini disebabkan oleh beberapa projek yang hampir selesai, mengakibatkan aktiviti dan pendapatan yang lebih rendah, manakala projek-projek baharu pula masih di peringkat awal," kata MICS melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Tambahan pula, penyusutan hasil dalam segmen penyelesaian dan aset gas disebabkan oleh hasil pendapatan yang amat lemah, berpunca daripada penamatan kontrak, pelupusan kapal dan kadar pajakan yang agak rendah pada suku semasa. 

 Pendapatan bagi segmen ini berjumlah RM636.2 juta iaitu RM139.1 juta atau 17.9 peratus lebih rendah daripada pendapatan suku tahunan yang sama sebelum ini iaitu pada paras RM775.3 juta.

-- BERNAMA