Keuntungan Bersih Suku Ketiga Hong Leong Financial Group Susut Kepada RM714.12 Juta
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih suku ketiga Hong Leong Financial Group Bhd (HLFG) untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 susut kepada RM714.12 juta berbanding RM818.07 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.
Hasil juga menurun kepada RM1.70 bilion daripada RM1.76 bilion, katanya melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagi tempoh sembilan bulan kumulatif, kumpulan itu melaporkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM2.40 bilion, menokok berbanding RM2.39 bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan melonjak kepada RM5.45 bilion daripada RM5.04 bilion.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif HLFG, Tan Kong Khoon melalui satu kenyataan berasingan berkata kumpulan itu telah menunjukkan daya tahan dalam sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025 walaupun berada dalam persekitaran operasi yang mencabar.
"Ini disebabkan oleh kenaikan 8.6 peratus dari tahun ke tahun dalam hasil kasar, didorong oleh pertumbuhan pinjaman di atas industri termasuk kejayaan dalam meningkatkan pendapatan yuran, yang membawa kepada pertumbuhan 14.2 peratus dari tahun ke tahun dalam pendapatan bukan faedah," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata ketidakpastian ekonomi global yang berpunca daripada gangguan perdagangan dan ketegangan geopolitik telah memberi kesan kepada pendapatan pelaburan dalam insurans dan pelaburan perbankan.
Tiada dividen diisytiharkan untuk suku yang ditinjau.
-- BERNAMA