BERITA TERKINI   Pengendalian dron tanpa kelulusan boleh datangkan risiko keselamatan, tindakan di bawah Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016 - CAAM | Aktiviti dron, pesawat tanpa pemandu dilarang di kawasan terlibat dengan raptai dan sambutan Hari Kebangsaan - CAAM | Hari Kebangsaan: Ruang udara kawasan kawalan Terminal Kuala Lumpur ditutup pada 26-29 Ogos dan 31 OgosĀ - CAAM | Kesan pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik dan diesel membolehkan kerajaan mempunyai ruang fiskal lebih luas biayai program kebajikan rakyat - Amir Hamzah | Kerajaan dalam fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dengan semua pihak berkepentingan - Amir Hamzah | 

MITI Masih Belum Lantik Pengerusi Baharu HDC - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) masih belum melantik pengerusi Halal Development Corporation Bhd (HDC) yang baharu selepas kontrak Khairul Azwan Harun tamat pada 17 Mei lepas.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata kementerian itu ingin melihat terlebih dahulu perkembangan penggabungan HDC bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sebelum membuat sebarang keputusan. 

"Pengerusi HDC pun telah tamat kontraknya ...  kita ingin melihat bagaimana penggabungan HDC ini yang melibatkan perubahan Suruhanjaya Halal ini sama ada diluluskan atau tidak oleh Kabinet," katanya kepada pemberita selepas Forum Ekonomi ASEAN-GCC 2025, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul turut menzahirkan penghargaan beliau kepada pengurusan HDC serta bekas pengerusinya Khairul Azwan atas perkhidmatan dan sumbangan beliau kepada pembangunan industri halal di Malaysia.

"Saya nak ucapkan terima kasih juga kepada (bekas) pengerusi HDC dan pengurusan HDC. 

"Pengerusi HDC pun telah tamat kontraknya dan saya nak ucapkan terima kasih kepada beliau kerana telah memberi semangat selama dua tahun ini," katanya. 

Terdahulu sebelum ini MITI menerusi hantaran di laman X mengumumkan kontrak perkhidmatan Khairul Azwan sebagai Pengerusi HDC berakhir berkuat kuasa pada 17 Mei 2025 selepas memegang jawatan berkenaan mulai 18 Mei, 2023.

Khairul Azwan memiliki ijazah sarjana pengurusan daripada Open University Malaysia dan pernah mengikuti kursus kepimpinan global di Harvard Kennedy School of Government, Amerika Syarikat.

Beliau masih menggalas jawatan sebagai Pengerusi VSolar Group Bhd dan sebelum ini pernah menjadi pengerusi di mTouche Technology Bhd serta Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV).

-- BERNAMA