BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

MIDF Amanah Jangka Rasionalisasi Subsidi RON95 Mungkin Ditunda Sehingga Suku Keempat 2025

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- MIDF Amanah Investment Bank Bhd menjangkakan pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 mungkin akan ditunda ke suku keempat 2025 berikutan isu-isu yang masih belum diselesaikan seperti kelayakan dan mekanisme pelaksanaan.

Bank pelaburan itu berkata potensi penangguhan itu ke separuh kedua tahun 2025 dijangka memberi kelegaan sementara kepada pengguna, sekali gus menyokong perbelanjaan swasta dalam persekitaran inflasi yang stabil.

“Walaupun Kementerian Kewangan menyasarkan pelancaran pada separuh kedua 2025, kami menjangkakan pelaksanaan mungkin diteruskan ke suku keempat 2025 disebabkan isu yang tidak dapat diselesaikan seperti kelayakan dan mekanisme pelaksanaan,” katanya dalam satu nota hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan pada separuh kedua tahun 2025.

Beliau berkata Kementerian Kewangan akan meneruskan proses rasionalisasi subsidi, namun fokus utama pada masa ini adalah untuk mengenal pasti kumpulan yang layak menerima subsidi tersebut.

Dalam pada itu, MIDF Amanah turut menjangkakan pengguna tidak akan mengalami tekanan harga yang ketara melalui mekanisme pelepasan.

Bagaimanapun, bank pelaburan itu memberi amaran bahawa tekanan inflasi mungkin timbul pada penghujung tahun, dipacu oleh kemungkinan peningkatan tekanan harga akibat rasionalisasi subsidi serta peningkatan kos utiliti bagi perniagaan.

MIDF Amanah juga menyatakan jurang antara Indeks Harga Pengeluar (IHP), yang mengukur perubahan harga di peringkat pengeluar, dan Indeks Harga Pengguna (CPI) terus melebar, dengan CPI mencatatkan pertumbuhan sederhana sebanyak 1.4 peratus tahun ke tahun pada April 2025.

Pada Rabu, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa IHP bagi April 2025 menguncup sebanyak 3.4 peratus tahun ke tahun. Ini merupakan bulan kedua berturut-turut ia mencatatkan penurunan dan yang paling ketara sejak Jun 2023.

Tekanan harga yang lemah ini sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan harga dua digit yang lebih ketara dalam sektor perlombongan, terutamanya berpunca daripada penyusutan harga petroleum mentah, manakala harga gas asli mencatatkan penurunan yang lebih sederhana.

-- BERNAMA