CGS, CGS International Meterai Perjanjian Strategik Pacu Hubungan Perniagaan ASEAN-China

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- China Galaxy Securities Co Ltd (CGS) dan CGS International Securities Group hari ini memeterai lima memorandum persefahaman (MoU) strategik dan satu surat hasrat (LoI) bagi memperteguh kerjasama perniagaan ASEAN-China.

Dalam kenyataan hari ini, CGS berkata perjanjian itu bertujuan mempromosikan ASEAN sebagai kuasa ekonomi serantau yang bersepadu dan kukuh, memperdalam kerjasama rentas sempadan dan mempercepat aliran modal meliputi sektor pertumbuhan tinggi.

Menurutnya pemeteraian itu mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang ASEAN, dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN berperanan penting dalam memudahkan aliran perniagaan dan modal China-ASEAN serta dalam kalangan negara ASEAN sendiri.

"Meliputi akses, ekuiti persendirian dan penyelesaian pelaburan untuk teknologi, penjagaan kesihatan, pembangunan industri, promosi pelaburan serta pengurusan kekayaan dan kemudahan pejabat keluarga, perjanjian berkenaan mencerminkan misi dan keupayaan meluas CGS dan CGS International untuk merapatkan jurang antara modal dan peluang di rantau ini," menurut kenyataan itu.

LoI dan MoU yang dimeterai oleh CGS dan CGS International turut meliputi cadangan di bawah Program Pelaburan China-ASEAN untuk menubuhkan dana ekuiti persendirian yang menyasarkan sektor berpotensi tinggi di seluruh ASEAN.

Malaysia akan menjadi pusat utama serantau bagi inisiatif berkenaan yang turut merangkumi pemindahan pengetahuan industri dan teknologi dari China ke ASEAN.

MoU yang dimeterai antaranya dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk bersama-sama mempromosikan Malaysia sebagai hab pelaburan utama, memudahkan libat urus dengan pelabur serta bekerjasama dalam pengumpulan dana, padanan perniagaan dan pembangunan rantaian bekalan bagi industri bernilai tinggi.

Selain itu, MoU bersama-sama Fullgoal Asset Management (HK) Ltd dan Bursa Malaysia Bhd memberi tumpuan mengenai penyenaraian bersama Dana Dagangan Bursa (ETF) di Bursa Malaysia bagi memperluas akses pelabur tempatan kepada pasaran global.

MoU berasingan dengan GL Capital Management Ltd pula meliputi penubuhan dana ekuiti persendirian tertutup khusus bagi sektor penjagaan kesihatan dan peranti perubatan ASEAN.

Di samping itu, turut dimeterai adalah MoU dengan OCBC Bank (Malaysia) Bhd yang bertujuan meningkatkan aliran perdagangan dan pelaburan China-ASEAN melalui tawaran perkhidmatan perbankan, perbendaharaan dan perbankan pelaburan kepada pelanggan serantau.

Sementara itu, MoU dengan Zhongguancun International Holding Ltd berhasrat untuk memudahkan kemasukan syarikat China dalam sektor seperti pembuatan canggih, teknologi digital, keselamatan makanan dan penjagaan kesihatan dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan taman perindustrian terpilih di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan CGS International Carol Fong berkata pemeteraian itu bukan semata-mata sebagai perjanjian malah mencerminkan keyakinan kukuh terhadap potensi pelaburan dan pertumbuhan ASEAN dan Malaysia.

“CGS International berbangga memainkan peranan sebagai penghubung dan pemangkin, memanfaatkan operasi kami yang meluas di ASEAN serta sokongan kuat dari China untuk membantu pelanggan dan rakan kongsi mempercepat kerjasama strategik rentas sempadan serta mobiliti modal dan bakat bagi pertumbuhan perniagaan,” katanya.

-- BERNAMA