BERITA TERKINI   Forest Research Institute Malaysia Forest Park Selangor (FRIM FPS) disenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO - MOTAC | 

UEM Edgenta Raih Nilai Perolehan Kontrak RM1.1 Bilion Pada Suku Pertama 2025

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- UEM Edgenta Bhd berjaya meraih nilai perolehan kontrak bernilai RM1.1 bilion bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2025.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan nilai perolehan kontrak syarikat itu sebanyak RM9.3 bilion setakat 31 Mac 2025.

Ketua Pegawai Kewangannya Ahmad Fazril Fauzi berkata jumlah RM1.1 bilion itu mewakili 39 peratus daripada keseluruhan nilai perolehan kontrak yang diperoleh pada tahun kewangan 2024.

"Kami meraih RM2.8 bilion bagi keseluruhan tahun lepas dan menjelang suku pertama tahun ini, kami sudah pun mencapai 39 peratus daripada jumlah itu,” katanya sewaktu memberikan taklimat secara maya bersama penganalisis dan pengamal media hari ini.

Daripada jumlah nilai perolehan kontrak RM9.3 bilion, RM5.8 bilion disumbangkan oleh perkhidmatan infrastruktur diikuti penyelesaian penjagaan kesihatan (RM2.5 bilion), penyelesaian hartanah dan kemudahan (RM600 juta) serta perundingan aset (RM400 juta).

"Kami yakin terhadap prestasi pada masa hadapan disokong oleh momentum positif operasi antarabangsa susulan kejayaan memperoleh kontrak di pasaran utama seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Singapura.

“Operasi kumpulan di Arab Saudi dan UAE mencatatkan pertumbuhan perolehan tahunan yang kukuh iaitu sebanyak 24 peratus dipacu oleh usaha integrasi yang berkesan serta pengembangan entiti yang baru diambil alih,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata di Singapura, kejayaan memperoleh kontrak baharu berjumlah RM462.8 juta dalam bahagian Penyelesaian Penjagaan Kesihatan menyumbang kepada nilai perolehan kontrak yang memberangsangkan.

 Manakala kontrak tambahan di Taiwan (RM328.7 juta), katanya, turut menyokong usaha kumpulan untuk menstabilkan dan mengukuhkan prestasi perniagaannya.

Mengulas mengenai keputusan kewangan suku pertama berakhir 31 Mac 2025, Ahmad Fazril berkata syarikat dijangka kembali mencatat keuntungan seawal suku kedua selepas merekodkan kerugian pada suku pertama 2025.

Beliau menyifatkan kerugian tersebut disebabkan oleh faktor kitaran.

UEM Edgenta mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM17.95 juta pada suku pertama 2025 daripada RM9.77 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya manakala perolehan menurun kepada RM646.06 juta daripada RM677.6 juta yang direkodkan sebelumnya.

-- BERNAMA