BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

KPJ Healthcare Raih Untung Bersih RM57.1 Juta Bagi Suku Pertama TK2025

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- KPJ Healthcare Bhd mencatat keuntungan bersih RM57.1 juta bagi tempoh suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 (TK2025) daripada RM71.4 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Perolehan hasil bagi suku di bawah kajian itu meningkat kepada RM971.8 juta daripada RM908.0 juta pada tempoh sama tahun kewangan 2024, disokong oleh peningkatan jumlah pesakit dan kapasiti katil di seluruh rangkaian hospitalnya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan penyedia khidmat penjagaan kesihatan itu berkata keuntungan sebelum cukai meningkat tujuh peratus kepada RM97.7 juta manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) menokok empat peratus kepada RM211.3 juta.

KPJ Healthcare berkata prestasi lebih baik itu mencerminkan margin operasi yang lebih kukuh, tumpuan operasi secara berterusan serta penyampaian perkhidmatan yang cekap susulan peningkatan jumlah lawatan pesakit.

Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 0.80 sen sesaham yang akan dibayar pada 11 Julai, 2025.

Menyentuh prospek bagi 2025, KPJ Healthcare berkata pihaknya kekal berhati-hati namun optimis, disokong oleh inisiatif pengoptimuman aset yang sedang dilaksanakan, peningkatan kapasiti serta usaha berterusan dalam memperkukuh kecekapan operasi.

“Pembukaan Hospital KPJ ke-30 di Kuala Selangor pada Mac juga menandakan langkah penting dalam perjalanan pengembangan sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar Malaysia.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada transformasi menyeluruh kumpulan di bawah Sistem Kesihatan KPJ Healthcare bagi menyediakan penjagaan lebih bersepadu dan menumpukan pesakit bagi jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Presiden merangkap Pengarah Urusannya Chin Keat Chyuan berkata dalam mengorak kemajuan pada 2025, KPJ Healthcare kekal menumpukan aspek peluasan akses, membina keupayaan dan penambahbaikan penyampaian penjagaan yang berpandukan misi “Care For Life.”

“Pembukaan hospital ke-30 itu memaparkan hala tuju ini dan kami terus melabur dalam kualiti perkhidmatan, termasuk penubuhan Pusat Kecemerlangan dalam bidang-bidang utama.

“Inisiatif-inisiatif ini adalah bukti komitmen kami untuk memperkukuh kepakaran dan meningkatkan impak rawatan bagi komuniti yang menerima khidmat kami,” katanya.

-- BERNAMA