BERITA TERKINI   Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid meninggal dunia tengah hari tadi | Inflasi Malaysia naik 1.6 peratus pada Januari 2026 dengan mata indeks meningkat kepada 135.7 daripada 133.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | Semua kegiatan agama dan pembinaan rumah ibadat perlu ikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa - PM Anwar | Puasa satu ujian keikhlasan, disiplin dan integriti - PM Anwar | Mulakan Ramadan dengan perasaan tawaduk, muhasabah dan perbaiki diri - PM Anwar | 

Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Berdepan Dagangan Tidak Menentu Minggu Depan

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives berkemungkinan meneruskan prestasi pasaran tunai asas, yang dijangka mengalami dagangan tidak menentu minggu depan di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran yang berterusan.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata Bursa Malaysia dijangka berdepan minggu dagangan empat hari yang disingkatkan minggu depan berikutan cuti hujung minggu yang dilanjutkan, yang mungkin mendorong aktiviti dagangan lebih ringan dan naik turun pasaran yang meningkat.

Justeru, beliau menasihatkan pelabur supaya terus berwaspada, mengekalkan kepelbagaian portfolio dan bersedia untuk tempoh turun naik kerana ketidaktentuan terus mempengaruhi dinamik pasaran. 

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup pada 2 Jun, 2025 bersempena dengan cuti umum Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan akan menyambung semula operasi pada Selasa, 3 Jun, 2025.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Mei 2025 susut 18.0 mata kepada 1,515.5, Jun 2025 turun 37 mata kepada 1,496.0, September 2025 merosot 39.0 mata kepada 1,479.0, dan Disember 2025 berkurang 41.5 mata kepada 1,483.5.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 152,899 lot daripada 33,633 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka mengukuh kepada 50,960 kontrak daripada 42,759 kontrak sebelumnya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 27.03 mata kepada 1,508.35 daripada 1,535.38 pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA