BERITA TERKINI   Rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat, tiada toleransi dalam pentadbiran negara - Agong | Agong zahir amaran ramai lagi dalam radar Seri Paduka Baginda untuk misi perangi rasuah | PDRM rampas vape, bahan cecair vape bernilai lebih RM8.8 juta dalam Op E-Cig Mega serentak di 13 negeri- Datuk Fisol   | Kementerian Komunikasi junjung titah Raja Permaisuri Agong mahu keselamatan kanak-kanak, remaja di alam maya diberi perhatian serius pihak berkuasa - Fahmi | 

Niaga Hadapan Getah Ditutup Rendah Sejajar Dengan Pasaran Serantau

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup lebih rendah disebabkan oleh kelemahan dalam petunjuk daripada pasaran niaga hadapan getah serantau dan data ekonomi China yang agak lembap, kata seorang peniaga. 

Sentimen pasaran juga terjejas oleh kebimbangan mengenai prospek ekonomi global yang disebabkan oleh hubungan perdagangan China-Amerika Syarikat (AS) yang semakin merosot, ketidakpastian terhadap tarif perdagangan AS dan ketegangan geopolitik di Eropah serta Timur Tengah yang memuncak.

"Bagaimanapun, kerugian selanjutnya telah dihadkan oleh harga minyak mentah yang mantap di tengah -tengah lonjakan keyakinan untuk lebih banyak rangsangan daripada China," katanya kepada Bernama. 

Beliau menjelaskan harga getah Jepun jatuh ke tahap terendah lebih dari setahun hari ini, ditekan oleh penurunan permintaan dari pengguna China selain jangkaan peningkatan bekalan dari musim penorehan.

"Pada masa yang sama, sektor pembuatan China tanpa disangka telah menyusut pada Mei, dengan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan Caixin (PMI) merosot kepada 48.3 berbanding 50.4 sebelum ini.

"Sementara itu, PMI pembuatan rasmi China kekal dalam fasa penguncupan pada 49.5, mencerminkan impak ekonomi tarif AS ke atas negara tersebut," katanya, sambil menambah bahawa hubungan perdagangan AS-China telah tegang selepas Presiden AS Donald Trump menuduh China melanggar perjanjian perdagangan, yang kemudiannya dinafikan China.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan bahawa harga SMR 20 telah turun sebanyak 12 sen kepada 686.5 sen sekilogram dan lateks pukal berkurangan 8.0 sen kepada 612.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA