BERITA TERKINI   Forest Research Institute Malaysia Forest Park Selangor (FRIM FPS) disenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO - MOTAC | 

Ascend Airways Malaysia Teruskan Dengan Proses AOC, Sasar Lancar Kargo November Ini

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Ascend Airways Malaysia, syarikat penerbangan baharu yang berpangkalan di Malaysia dan sebahagian daripada Avia Solutions Group, kini meneruskan langkah ke fasa ketiga iaitu proses permohonan Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) dan menyasar untuk melancarkan operasi kargo pada November 2025.

Pada 2024, Ascend Airways Malaysia memperoleh Permit Perkhidmatan Udara Bersyarat daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan memulakan proses untuk mendapatkan AOC daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Dalam kenyataan pada Rabu, syarikat penerbangan sewa khas, serta pesawat, anak kapal, penyelenggaraan dan insurans (ACMI) berpangkalan di Malaysia itu menjelaskan pihaknya akan menawarkan perkhidmatan penumpang dan kargo.

“Pesawat Boeing 737-800 pertama syarikat dijadualkan tiba di Malaysia pada suku ketiga 2025 untuk menyokong peringkat akhir proses AOC dan pelancaran operasi kargo.

“Dua pesawat Boeing 737-800 dengan konfigurasi penumpang akan menyusul, dengan penghantaran dijangka menjelang akhir 2025 dan awal 2026,” menurutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Ascend Airways Malaysia Germal Singh Khera berkata syarikat penerbangan itu menyasar untuk menjadi rakan ACMI yang dipercayai.

Beliau berkata pihaknya juga menyasar untuk membantu kalangan syarikat penerbangan meningkatkan kecekapan operasi dan memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan penumpang dan kargo yang semakin meningkat di seluruh rantau Asia-Pasifik.

“Sebagai syarikat penerbangan ACMI baharu di Malaysia, kami sentiasa berterima kasih atas sokongan, pandangan global dan pendekatan proaktif yang diberikan Kementerian Pengangkutan, CAAM, MAVCOM dan pihak berkuasa lain yang berkaitan untuk memajukan industri penerbangan di Malaysia.

“Sokongan luar biasa ini telah membolehkan kami mewujudkan asas operasi yang kukuh untuk membantu pengendali udara dan cita-cita mereka di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ascend Airways United Kingdom Alastair Willson berkata entiti Malaysia akan membentuk sebahagian daripada strategi kumpulan pesawat bermusim syarikat itu.

“ACMI merupakan penyelesaian terbukti untuk syarikat penerbangan yang ingin memenuhi permintaan perjalanan yang dinamik dengan cekap dan memanfaatkan peluang perolehan baharu. Kami bertekad dengan berasaskan aspirasi kami untuk menjadi peneraju dalam bidang ini,” katanya.

Avia Solutions Group telah memegang AOC di Indonesia dan sedang mendapatkan kelulusan kawal selia untuk AOC di Thailand, Filipina dan Malaysia menjelang akhir 2026.

-- BERNAMA