BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad Hasan  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Pasaran Getah Ditutup Rendah

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan prestasi pasaran hadapan getah serantau yang bercampur-campur apabila ringgit mengukuh sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga.

Beliau berkata ketidaktentuan berkaitan tarif dan dasar perdagangan AS menyebabkan sentimen pasaran terjejas apatah lagi di tengah-tengah data ekonomi AS yang lebih lemah.

“Bagaimanapun, penurunan seterusnya dihadkan oleh kenaikan harga minyak mentah dan harapan yang semakin meningkat bahawa China akan memperkenalkan lebih banyak langkah rangsangan untuk meningkatkan ekonominya,” katanya kepada Bernama.

Menurut peniaga itu, dolar AS susut pada sesi sebelumnya (pagi) selepas pengumuman data pekerjaan dan perkhidmatan AS yang lemah, dengan data pekerjaan yang lebih penting dijangka diumumkan pada Jumaat.

“Ekonomi AS yang rosak semakin ketara disebabkan tindakan tarif yang tidak menentu oleh Presiden AS Donald Trump, manakala perjanjian dua hala masih belum direalisasikan,” tambahnya.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia mengumumkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun 8.5 sen kepada 690.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut 4.5 sen kepada 605 sen sekilogram.

-- BERNAMA