PTP Catat Kendalian Kontena 1.27 Juta TEU Pada Mei, Tertinggi Dalam Tempoh Tiga Bulan
ISKANDAR PUTERI, 5 Jun (Bernama) -- Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mencatatkan satu lagi pencapaian penting pada Mei apabila mengendalikan kontena berjumlah 1.27 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) iaitu pencapaian tertinggi baharu bagi bulan ketiga berturut-turut.
Pada Mac, PTP mencatatkan 1.18 juta TEU, diikuti 1.22 juta TEU pada April, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan PTP sebagai salah satu hab pemindahan kontena terkemuka di Asia.
PTP merupakan usaha sama antara Kumpulan MMC Malaysia dan APM Terminals yang berpangkalan di Belanda.
Pengerusi PTP Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata keupayaan untuk mengendalikan jumlah yang tinggi dengan lancar menunjukkan komitmen pelabuhan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan rakan strategik, sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Pencapaian terbaharu ini mengatasi rekod April kami sebanyak 53,000 TEU. Ini satu lonjakan yang luar biasa. Dengan momentum ini, kami menjangkakan pencapaian yang kukuh bagi tahun akan datang,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif PTP Mark Hardiman berkata pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kemampuan pelabuhan untuk melepasi penanda aras prestasi, malah kekuatan hubungan strategik dengan pelanggan utama.
“Ia bukan sekadar membuktikan kemampuan kami untuk melangkaui had, malah mencerminkan kerjasama kukuh dan menjanjikan yang kami bina bersama setiap pelanggan kami, termasuk Kerjasama Gemini yang baru diwujudkan antara Maersk dan Hapag-Lloyd,” katanya.
Kerjasama Gemini ialah perkongsian strategik antara Maersk dan Hapag-Lloyd untuk mewujudkan rangkaian perkapalan bersama bagi laluan perdagangan Timur-Barat.
Beliau berkata menerusi Kerjasama Gemini PTP berperanan sebagai hab utama Asia yang memainkan peranan penting dalam menyokong kejayaan pakatan global itu.
Pertumbuhan jangka panjang PTP juga disokong oleh pelaburan yang strategik dalam penaiktarafan aset dan penambahbaikan infrastruktur, kata Hardiman.
“Perjalanan kami tidak mudah, tetapi cabaran yang dihadapi telah membentuk daya tahan dan semangat kami. Tahun ini, sempena ulang tahun ke-25 PTP, pencapaian rekod ini menjadi kenangan bermakna iaitu sejauh mana kami telah melangkah, dan potensi besar yang masih boleh dicapai bersama,” kata beliau.
-- BERNAMA