BERITA TERKINI   Pembentukan Majlis Media Malaysia membolehkan isu dalam industri media diurus dengan lebih terangkum, mampan dan bebas - Fahmi   | Lembaga pengarah akan umum perkembangan penting dalam mematuhi Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia Securities Bhd dan seperti dikehendaki undang-undang - NationGate Holdings | Lembaga pengarah pandang serius dakwaan, ambil langkah proaktif pastikan kerjasama sepenuhnya dengan SPRM - NationGate Holdings | Serbuan SPRM terhadap premis NationGate Solution (M) Sdn Bhd semalam sebahagian daripada siasatan dakwaan seludup logam sekerap - NationGate Holdings Bhd | Hala tuju masa depan dasar perkapalan Malaysia akan ditumpukan kepada pendigitalan, penyahkarbonan maritim dan pembangunan armada strategik - Anthony Loke | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Berikutan Perkembangan Positif AS-China

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini selepas pasaran emas melemah sedikit susulan perbualan telefon yang memberangsangkan antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping, kata seorang penganalisis.

Perbualan itu yang menandakan peningkatan hubungan diplomatik antara dua ekonomi terbesar dunia, membantu menenangkan kebimbangan pelabur mengenai potensi perdagangan dan ketegangan geopolitik.

Menurut Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes, perkembangan itu mengurangkan permintaan terhadap aset-aset selamat seperti emas, sekali gus menyumbang kepada penurunan harga.

“Perbualan telefon antara Trump dan Xi telah mengurangkan permintaan aset selamat untuk aset-aset AS, menyebabkan harga emas kekal dalam julat dagangan yang lebih terhad.

“Selain itu, walaupun nada positif dalam perbualan Trump-Xi, logam berharga ini kekal terikat dengan pergerakan dolar AS. Para peniaga juga berharap pemotongan kadar faedah Rizab Persekutuan AS yang lebih awal daripada jangkaan akan melemahkan dolar,” katanya kepada Bernama.

Kontrak bulan semerta Jun 2025 jatuh kepada US$3,371.80 setiap auns troy daripada US$3,400.90 setiap auns troy semalam, manakala kontrak Julai 2025 merosot kepada US$3,380.30 setiap auns troy daripada US$3,409.40 setiap auns troy.

Kontrak Ogos, September dan Oktober 2025 semuanya susut kepada US$3,393.80 setiap auns troy daripada US$3,422.90 setiap auns troy semalam.

Jumlah dagangan meningkat kepada 109 lot daripada 38 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 122 kontrak daripada 62 kontrak sebelumnya.

Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 5 jun, harga emas fizikal berada pada US$3,374.60 setiap auns troy.

-- BERNAMA