BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad Hasan  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Ekonomi Global Mencabar Dorong Ringgit Dibuka Rendah

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) --- Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu mengukuh dalam situasi tidak menentu baharu disebabkan unjuran ekonomi global yang mencabar pada separuh kedua 2025.

Pada 8.03 pagi, mata wang tempatan dicatatkan pada 4.2375/2560 berbanding dolar AS daripada 4.2270/2360 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka berada antara RM4.23 dan RM4.24 hari ini berikutan data senarai gaji bukan ladang (NFP) AS pada Mei yang lebih kukuh daripada jangkaan. 

Katanya NFP AS meningkat 139,000 pada Mei, lebih tinggi daripada anggaran konsensus sebanyak 126,000 manakala kadar pengangguran kekal pada 4.2 peratus untuk tiga bulan berturut-turut, mendorong Indeks Dolar AS (DXY) naik kepada 99.190 mata pada Jumaat lepas.

“Data NFP terkini menunjukkan pasaran tenaga kerja di AS masih berdaya tahan walaupun perlu berdepan dengan tarif yang tinggi,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya NFP pada April telah disemak semula kepada paras lebih rendah, iaitu daripada 177,000 kepada 147,000 dan kadar penyertaan tenaga kerja AS merosot kepada 62.4 peratus pada Mei daripada 62.6 peratus pada April.

“Oleh itu, walaupun pasaran tenaga kerja masih baik, petunjuk kadar pertumbuhan yang perlahan dalam kumpulan data semakin ketara.

“Berdasarkan sentimen perniagaan dan pengguna yang kekal lemah, unjuran ekonomi pada separuh kedua 2025 dilihat semakin mencabar. Pada pandangan kami, kemungkinan untuk Kadar Dana Persekutuan AS diturunkan meningkat,” katanya.

Beliau berkata ringgit mengukuh berbanding dolar AS, dengan USDMYR ditutup pada RM4.2315, mencatatkan peningkatan mingguan sebanyak 0.6 peratus pada minggu lepas.

Pada sesi awal, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9305/9435 daripada 2.9324/9390 pada Jumaat lepas, bagaimanapun merosot berbanding pound kepada 5.7367/7618 daripada 5.7212/7334 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.8341/8552 daripada 4.8268/8371.

Mata wang tempatan turut diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN. 

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9468/13.0121 daripada 12.9599/9947 pada Jumaat lepas. 

Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2892/3041 daripada 3.2862/2934, berkurangan berbanding peso Filipina kepada 7.60/7.64 daripada 7.58/7.60 dan menurun berbanding rupiah Indonesia kepada 260.1/261.4 daripada 259.5/260.2. 

-- BERNAMA