BERITA TERKINI   Pembangunan solar terapung hidro hibrid dan hab hidrogen hijau di Kenyir berpotensi tarik pelaburan serantau dan antarabangsa – PM Anwar | Pembangunan solar terapung hidro hibrid hab hidrogen hijau di Kenyir buka ruang anak tempatan terima pendidikan TVET oleh Petronas dan TNB - PM Anwar | Forest Research Institute Malaysia Forest Park Selangor (FRIM FPS) disenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO - MOTAC | 

Semakan Kadar Cukai Jualan, Peluasan Skop Cukai Perkhidmatan Berkuat Kuasa 1 Julai – MOF

PUTRAJAYA, 9 Jun (Bernama) -- Kerajaan akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan (CJ) dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (CP) mulai 1 Julai ini untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata langkah ini bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.

“Kerajaan komited untuk meneruskan pembaharuan di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

“Bagi memastikan rakyat terbanyak tidak terkesan daripada semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Kerajaan MADANI mengambil pendekatan yang bersasar untuk memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selain itu pelbagai kemudahan turut disediakan bagi mengurangkan kesan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Melengkapi usaha Kerajaan MADANI untuk merancakkan ekonomi dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial, hasil tambahan daripada penambahbaikan SST ini akan membolehkan penambahbaikan lanjut dalam perkhidmatan awam,” kata Amir Hamzah.

Menurutnya ini khususnya bagi peningkatan jumlah bantuan tunai kepada rakyat serta memperkukuh prasarana asas dan penyampaian perkhidmatan awam.

“Tambahan hasil ini dapat dimanfaatkan seluruh negara tanpa menambah beban kepada majoriti rakyat,” katanya.

Amir Hamzah berkata semakan semula SST telah melalui proses libat urus bersama pihak berkepentingan, khususnya persatuan industri dan ejen percukaian.

Menurutnya penyediaan perundangan turut mengambil kira maklum balas serta input industri bagi memastikan majoriti rakyat tidak terjejas dan kesan terhadap pihak industri dapat diminimumkan.

Secara amnya, semakan kadar CJ dan peluasan skop CP merangkumi perkara-perkara berikut iaitu kadar CJ kekal tidak dinaikkan ke atas barangan keperluan asas yang digunakan oleh rakyat; dan kadar CJ sebanyak lima peratus atau 10 peratus dikenakan ke atas barangan pilihan dan bukan keperluan asas.

Selain itu; skop kenaan CP diperluas kepada perkhidmatan baharu seperti sewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

Peluasan ini disertakan dengan pengecualian terpilih untuk mengelakkan cukai berganda serta memastikan perkhidmatan keperluan tertentu untuk warganegara Malaysia tidak dikenakan cukai.

Amir Hamzah berkata kerajaan juga mengambil kira keperluan bagi pematuhan perundangan kepada syarikat yang akan tertakluk kepada SST.

“Sehubungan itu, bagi syarikat yang mengambil tindakan untuk mematuhi syarat perundangan SST yang ditetapkan, tiada tindakan pendakwaan dan penalti akan dikenakan sehingga 31 Dis 2025,” katanya.

Menurut lampiran yang disertakan dalam kenyataan itu, di bawah semakan kadar CJ,barangan keperluan asas harian berkadar CJ sifar peratus yang dikekalkan adalah seperti ayam, lembu, kambing, ikan, udang, sotong, sayuran, buah-buahan tempatan, beras, barli, oat, gandum, tepung, sardin tin, gula, garam, roti putih, pasta, bihun, mi, mi segera, susu, minyak masak, ubat, peranti perubatan, buku, jurnal, surat khabar dan makanan peliharaan.

CJ sifar peratus juga dikekalkan bagi bahan asas pembinaan seperti simen, batu dan pasir serta input sektor pertanian seperti baja, racun, jentera pertanian dan penternakan.

“Kerajaan MADANI mengambil langkah untuk tidak mengenakan CJ ke atas barangan keperluan asas harian supaya tidak memberi kesan secara langsung kepada kos sara hidup majoriti rakyat dan kadar inflasi kekal terkawal,” katanya.

Semakan semula CJ melibatkan barangan pilihan tertentu telah dinaikkan daripada kadar CJ sifar peratus kepada CJ lima peratus seperti king crab (ketam besar), salmon, kod, cendawan truffle, buah-buahan import, minyak pati, kain sutera dan jentera industri.

Menurut lampiran itu, beberapa barangan pilihan premium telah dinaikkan kepada CJ 10 peratus seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik.

Di bawah peluasan skop CP pula, skop CP sedia ada akan diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

-- BERNAMA