BERITA TERKINI   Unit ITMAX System memperoleh Perubahan Kerja (VO) bernilai RM603.5 juta daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi meningkatkan keupayaan bandar pintar generasi baharu | Harga runcit RON95 & RON97 turun 25 sen, diesel Semenanjung turun 75 sen bagi 16-22 April - MOF | Unit Tuju Setia peroleh kontrak kerja-kerja pembinaan daripada Sime Darby Property bernilai RM359.3 juta | 80 warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan terbabit penipuan dalam talian pada 7 April | Lawatan kerja Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah ke premis KL-Kepong Oleomas di Selangor Sabtu ini tinjau proses pengadunan biodiesel - Fahmi Fadzil | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini menjelang pengumuman data penting daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang dijadualkan pada Selasa.

Penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Dr Sathia Varqa berkata peniaga mengambil pendekatan berhati-hati menjelang laporan data pengeluaran, eksport dan inventori minyak sawit bulan Mei oleh MPOB itu.

“Laporan penawaran dan permintaan MPOB itu dijangka menunjukkan bahawa eksport meningkat lebih cepat daripada pengeluaran, tetapi stok keseluruhan mungkin masih meningkat disebabkan inventori permulaan yang lebih tinggi.

“Eksport Malaysia bagi tempoh 1–10 Jun dianggarkan meningkat 25–30 peratus berbanding tempoh yang sama pada Mei,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata harga MSM juga dijangka bergerak seiring dengan kenaikan harga minyak kacang soya di bursa Chicago Board of Trade.

"Kami melihat paras sokongan pada RM3,800 setan metrik dan paras rintangan pada RM4,000 setan metrik," katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Jun 2025 meningkat RM9 kepada RM3,920 setan metrik, Julai 2025 naik RM2 kepada RM3,932 setan metrik dan Ogos 2025 menokok RM8 kepada RM3,925 setan metrik.

Kontrak September 2025 naik RM8 kepada RM3,914 setan metrik, Oktober 2025 menambah RM9 kepada RM3,908 setan metrik dan November 2025 menokok RM5 kepada RM3,904 setan metrik.

Jumlah dagangan susut kepada 47,097 lot daripada 62,878 lot pada Jumaat minggu lepas manakala kepentingan terbuka turun kepada 225,140 kontrak daripada 241,688 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan tidak berubah pada RM3,960 setan metrik.

-- BERNAMA