BERITA TERKINI   Sektor 'Advanced Air Mobility' dan dron dijangka berkembang pesat dengan pelaburan bernilai berbilion dolar - Loke | LAE buka peluang tarik pelaburan bernilai tinggi, tingkatkan daya saing negara - Loke | Garis panduan Ekonomi Altitud Rendah (LAE) dijangka diumum hujung tahun ini, perkasa kawal selia dan operasi ekosistem LAE - Loke | Lim Guan Eng, isterinya dan ahli perniagaan Phang Li Koon gagal dalam permohonan batalkan pertuduhan rasuah, ubah wang haram berkaitan projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta | Aliran keluar bukan pemastautin dalam pasaran pertukaran asing mencerminkan penyusunan semula portfolio susulan prestasi kukuh ringgit pada awal tahun ini - BNM | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Dua Hari Berturut-turut

Oleh K Naveen Prabu & Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) ditutup lebih rendah dua hari berturut-turut susulan dipengaruhi kebimbangan terhadap unjuran bekalan yang semakin meningkat.

Menurut laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) semalam, Malaysia menghasilkan 1.77 juta tan MSM pada Mei, meningkat sebanyak 5.1 peratus daripada 1.69 juta tan pada bulan sebelumnya.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr. Sathia Varqa berkata Malaysia dan Indonesia kini berada dalam musim pengeluaran tinggi walaupun pengeluaran Malaysia dijangka perlahan pada Jun selepas mencatatkan peningkatan selama tiga bulan berturut-turut.

 “Persatuan Pengilang Minyak Sawit Selatan Semenanjung melaporkan pengeluaran dalam 10 hari pertama Jun menyusut sebanyak 17.24 peratus daripada tempoh yang sama pada Mei sekali gus membalikkan peningkatan 19 peratus yang dicatatkan dalam lima hari pertama bulan tersebut,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Kumpulan Sunvin yang berpusat di Mumbai Anilkumar Bagani berkata pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat dan permintaan yang lemah dari destinasi selain India turut menjejaskan sentimen pasaran tempatan untuk membeli komoditi yang bernilai itu.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Jun 2025 turun sebanyak RM30 kepada RM3,846 setiap tan, Julai 2025 menurun RM30 kepada RM3,842 setiap tan dan Ogos 2025 susut RM25 kepada RM3,839 setiap tan.

Kontrak September 2025 merosot sebanyak RM22 kepada RM3,839 setiap tan, Oktober 2025 menyusut RM19 kepada RM3,840 setiap tan dan November 2025 berkurangan RM15 kepada RM3,846 setiap tan.

Jumlah dagangan mengecil kepada 54,747 lot daripada 68,659 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka menurun kepada 180,901 kontrak berbanding 247,754 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM untuk Jun Selatan turun sebanyak RM50 kepada RM3,890 setiap tan.

-- BERNAMA