BERITA TERKINI   RUU Perolehan Kerajaan tidak sama sekali menambah kuasa, sebaliknya mengehadkan kuasa Menteri Kewangan dengan memperkenalkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh - Amir Hamzah | 98.8 peratus daripada sasaran 500,000 pembinaan rumah mampu milik dicapai dalam RMK12 - PM Anwar | RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu dilaksanakan bagi bina kediaman lebih selesa untuk rakyat - PM Anwar | Kerajaan beri tumpuan kepada projek keutamaan seperti NSS dan JS-SEZ tanpa meminggirkan pembangunan di negeri lain dalam Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 - PM Anwar | Kerajaan pastikan agihan adil kepada negeri untuk pembangunan dan kesalinghubungan digital - PM Anwar | 

EXIM Bank Perkukuh Hubungan Asia Tengah, Manfaatkan Peluang Untuk Perniagaan Malaysia

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) akan memfokuskan tumpuan dalam mengukuhkan hubungan dengan negara Asia Tengah menerusi penglibatan strategik yang memberi manfaat kepada kalangan perniagaan Malaysia dan rakan niaga serantau.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata inisiatif berkenaan termasuk meneroka penyelesaian pembiayaan berstruktur bagi rakan niaga utama di Uzbekistan, termasuk cadangan kerjasama dengan Joint-Stock Commercial Bank HamkorBank.

Kerjasama itu adalah bagi menyokong syarikat Malaysia yang beroperasi di Uzbekistan serta pengimport barangan Malaysia di negara itu, kata bank itu.

Sehubungan itu, penyertaan bank tersebut dalam sesi pleno ketiga Majlis Pelabur Asing (FIC) di Tashkent mengukuhkan lagi komitmennya untuk memperluas kehadiran perdagangan Malaysia di peringkat global.

Ketua Pegawai Perniagaan EXIM Bank Faizah Mustapa berkata penyertaan dalam forum berprofil tinggi itu mencerminkan hasrat strategik bank untuk menyokong pengeksport Malaysia melalui penyelesaian pembiayaan perdagangan yang inovatif, di samping meneroka peluang usaha sama dengan institusi kewangan Uzbekistan.

“Kami menyambut baik reformasi yang dilaksanakan oleh Uzbekistan dalam menyelaraskan peraturan perbankan serta menambah baik kemudahan kredit bagi aktiviti import-eksport,” katanya.

Menurut EXIM Bank, penyertaannya dalam forum tersebut bertujuan mengembangkan pelaburan ke pasaran baharu dan menyokong pengantarabangsaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.

 Ia turut melengkapi aspirasi Uzbekistan menerusi Wawasan 2030 yang memberi tumpuan menarik pelaburan langsung asing, meningkatkan ketelusan peraturan, serta memajukan projek kerjasama awam-swasta dalam sektor pertanian, pembuatan, infrastruktur dan pelancongan.

“Dengan 36 syarikat Malaysia yang kini beroperasi di Uzbekistan, hubungan antara kedua-dua negara terus berkembang.

“Hubungan ini turut diperkuat melalui lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Uzbekistan pada Mei 2024, diikuti lawatan balas oleh Presiden Shavkat Mirziyoyev ke Malaysia pada Februari 2025, yang mengesahkan komitmen kedua-dua pihak untuk memacu hubungan dua hala ke tahap perkongsian strategik,” katanya.

EXIM Bank berkata keutamaan eksport Malaysia yang seiring dengan strategi pembangunan Uzbekistan membuka peluang dalam pelbagai industri seperti pertanian, elektrik dan elektronik, pelancongan serta ekonomi halal.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Datuk Bahria Mohd Tamil, yang juga ahli lembaga pengarah EXIM Bank, berkata Malaysia dan Uzbekistan secara konsisten memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, kewangan, pelaburan dan infrastruktur melalui kepimpinan berwawasan kedua-dua negara.

“EXIM Bank bersedia menawarkan penyelesaian pembiayaan yang komprehensif bagi memperkasa pengeksport Malaysia dan mengukuhkan hubungan antara wilayah,” ujar beliau.

Forum pada 11 Jun 2025 itu dipengerusikan bersama oleh Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev dan Presiden Bank Eropah bagi Pembinaan Semula dan Pembangunan (EBRD), Odile Renaud-Basso.

Ia menghimpunkan kalangan pemimpin global bagi meneroka pembaharuan serta peluang di bawah pelan hala tuju ekonomi Uzbekistan melalui Wawasan 2030.

-- BERNAMA