BERITA TERKINI   Pindaan Akta MARA sedia untuk dibentang kepada jemaah menteri dalam tempoh tiga minggu - TPM Ahmad Zahid | Malaysia mempunyai simpanan gas mencukupi untuk sokong pertumbuhan industri - Johari Ghani | Pasaran semikonduktor global diunjurkan mencecah AS$1 trilion menjelang 2030, beri potensi manfaat ekonomi kepada Malaysia - Johari Ghani | Dua lelaki maut, tiga lagi cedera dalam kemalangan di Simpang 3 Manik Urai Lama, Kuala Krai, pagi tadi - Bomba Kelantan | Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) rekod 506 kes sehingga semalam, 228 daripadanya libatkan penyelewengan diesel - Armizan | 

Niaga Hadapan Emas Melonjak Berikutan Ketegangan Geopolitik

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Jumaat berikutan kebimbangan geopolitik yang kembali memuncak disebabkan serangan udara Israel ke atas kemudahan nuklear Iran.

Konflik itu telah merangsang permintaan terhadap aset-aset selamat iaitu emas.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran sudah menunjukkan momentum kenaikan harga selepas data inflasi AS yang lebih lemah awal minggu ini meningkatkan harapan terhadap pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

“Gabungan risiko geopolitik yang semakin meningkat dan latar belakang makroekonomi yang cenderung untuk menurunkan kadar faedah telah menyemarakkan permintaan terhadap emas,” katanya kepada Bernama.

Kontrak bulan semerta Jun 2025 meningkat kepada US$3,430.2 setiap auns troy daripada US$3,368.5 setiap auns troy pada Khamis, manakala kontrak Julai 2025 naik kepada US$3,438.7 setiap auns troy daripada US$3,377.0 setiap auns troy semalam.

Kontrak Ogos, September dan Oktober 2025 masing-masing mengukuh kepada US$3,458.2 setiap auns troy daripada US$3,396.5 setiap auns troy sebelum ini.

Jumlah dagangan meningkat kepada 56 lot berbanding 44 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 50 kontrak daripada 69 kontrak sebelumnya.

Menurut penetapan London Bullion Market Association pada 12 Jun, harga emas fizikal berada pada US$3,391.4 setiap auns troy.

-- BERNAMA