BERITA TERKINI   Kenaikan tarif kepada 25 peratus adalah keputusan Presiden AS Donald Trump bukan menerusi proses rundingan - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia perlu mencapai tahap konsensus yang tinggi dalam isu seperti keselamatan ekonomi, pembelian produk buatan AS dan meningkatkan pelaburan di negara itu untuk membantu mengimbangi perdagangan Malaysia-AS - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia mahu mencapai perjanjian seimbang yang memberi manfaat kepada negara dan bukan hanya sekadar untuk memuktamadkan perjanjian - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia tidak akan berkompromi bila melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara - Tengku Zafrul | Malaysia kekal optimistik untuk menyelesaikan isu berkaitan tarif susulan keinginan AS untuk terus melakukan rundingan bersama - Tengku Zafrul | 

MTD Properties Bangunkan Projek Kediaman, Industri Di Melaka

MELAKA, 14 Jun (Bernama) -- MTD Properties Sdn Bhd bakal membangunkan dua projek hartanah di Melaka melibatkan pembinaan unit kediaman dan premis industri yang dijangka bermula secara berperingkat pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTD Reime Rizal Abd Aziz berkata projek itu yang akan dibangunkan di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini ialah MTD Nexus 28 Industrial Park pada Ogos manakala MTD Elysia Heights pada Oktober.

“Pembangunan MTD Nexus 28 Industrial Park merupakan sebuah taman perindustrian moden yang lengkap dengan sistem pintar dan penyediaan panel solar PV yang menyokong kelestarian. Projek ini melibatkan 87 unit premis industri atau kilang terutamanya bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana.

“MTD Elysia Heights pula ialah projek pembangunan kediaman berjumlah 197 unit berkonsep kontemporari. Ia menawarkan kehidupan penuh gaya, keselesaan dan nilai jangka panjang kepada pembeli yang mementingkan kualiti hidup dalam lokasi strategik yang secara tidak langsung melengkapi keseluruhan pembangunan perbandaran di Taman Tasik Utama,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian dan Pecah Tanah MTD Nexus 28 Industrial Park, Prapelancaran MTD Elysia Heights dan Pejabat Jualan Metacorp Properties di sini.

Ia disempurnakan oleh Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin. Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MTD Dr Nik Fauzan Nik Faizul dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya Datin Sapiah Haron.

Reime Rizal berkata kedua-dua projek hartanah itu melibatkan keluasan kira-kira 8.89 hektar dan setiap projek dijangka siap dalam tempoh dua tahun dari tarikh projek itu bermula.

Beliau berkata dari segi harga, premis industri MTD Nexus 28 Industrial Park dijual pada harga bermula RM650,000 seunit manakala unit kediaman MTD Elysia Heights dijual pada harga bermula RM430,000 seunit.

Sementara itu, Nik Fauzan berkata MTD menyedari bahawa industri hartanah pada masa ini bukan hanya bergelut dengan cabaran kos pembinaan dan daya beli pengguna, malah pandangan masyarakat terhadap kelestarian dan kemampuan memiliki rumah yang berkualiti. 

“Kita melihat permintaan daripada pembeli khususnya unit kediaman yang berkonsep moden dan kontemporari semakin meningkat. Oleh itu, kita membangunkan MTD Elysia Heights, begitu juga dengan MTD Nexus 28 Industrial Park.

“Apabila kita melakukan kajian, didapati rangsangan ekonomi di Melaka telah bermula. Banyak industri mula bertapak di negeri ini dan selepas prapelancaran pada Disember tahun lepas, pendaftaran atau tempahan yang diterima amat menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata pelaburan MTD Properties di Melaka juga selari dengan aspirasi Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 yang menekankan pembangunan negeri yang lestari, berdaya huni dan pintar.

Katanya MTD Properties akan terus menyediakan kediaman berkualiti tinggi yang mampu dimiliki oleh rakyat daripada pelbagai latar belakang sekali gus mewujudkan nilai mampan, memperkukuh inovasi dan membina hubungan bermakna melalui penciptaan ruang hidup yang lestari.

-- BERNAMA