BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad Hasan  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

OPEC Akan Terus Melabur Dalam Bahan Api Fosil Walaupun Terdapat Inisiatif Peralihan Tenaga

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) akan terus melabur dalam pengeluaran bahan api fosil, walaupun momentum yang semakin meningkat di sebalik inisiatif kemampanan dan peralihan tenaga global.

Setiausaha Agung OPEC Haitham Al Ghais berkata pertubuhan itu menyokong strategi pelaburan yang lebih seimbang bagi menjamin kestabilan keselamatan tenaga dan kemampuan.

“Kadang kala kita terbawa-bawa apabila berbincang mengenai sifar bersih dan peralihan tenaga.

“Di OPEC, kami percaya dalam pendekatan lebih seimbang. Kita perlukan peralihan dan menangani perubahan iklim, tetapi bukan dengan mengorbankan keselamatan tenaga dan kemampuan.

“Salah satu faktor utama yang kami tekankan ialah kepentingan pelaburan yang berterusan, kerana ia merupakan industri jangka panjang dan berintensifkan modal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi panel bertajuk ‘Enabling Asia’s Future Energy Ecosystem’ pada Persidangan Energy Asia 2025 di sini hari ini.

Haitham menekankan bahawa OPEC tidak menolak tenaga boleh ubah, walaupun ia sering dianggap bertindak bertentangan dengannya.

“Kami tidak menolak tenaga boleh baharu. Sebaliknya, ramai ahli OPEC menerima tenaga boleh baharu.

“Bagaimanapun, kami mengakui bahawa tenaga boleh baharu sahaja tidak mencukupi.

“Itulah sebabnya, pendekatan kami terhadap peralihan tenaga mestilah dalam pelbagai kaedah.

“Tiada kaedah tunggal. Kami memerlukan semua sumber tenaga dan teknologi untuk melengkapi dan menyokong satu sama lain, terutamanya bagi mereka yang boleh mengurangkan pelepasan,” katanya.

Menurut Haitham, industri minyak memerlukan pelaburan sebanyak US$17.4 trilion atau kira-kira US$640 bilion setahun.

“Hari ini, minyak masih mewakili 30 peratus daripada gabungan tenaga global. Apabila digabungkan dengan gas, jumlah ini meningkat kepada kira-kira 56 hingga 57 peratus.

“Dari segi jumlah, kami menyaksikan permintaan minyak mencatatkan rekod baharu setiap tahun.

“Tahun ini, kami meramalkan permintaan minyak mencecah 104 juta tong sehari,” katanya.

-- BERNAMA