BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Ketika Sentimen Risiko Global Semakin Baik

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah pada Isnin berikutan sentimen risiko global yang lebih baik, kata penganalisis.

Rakan Kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata harga emas diniagakan menyusut pada sepanjang hari dagangan walaupun ketegangan antara Israel-Iran pada akhir minggu lepas menyebabkan ia dibuka lebih tinggi.

Beliau berkata penurunan itu berikutan pasaran menilai semula situasi ancaman segera -- gangguan bekalan minyak -- dijangka tidak berlaku pada masa ini, menyebabkan harga emas dan minyak mentah mula menyusut semula sehinggakan kebimbangan pelabur reda terhadap risiko geopolitik.

“Aliran berisiko telah mengurangkan permintaan terhadap aset selamat seperti emas. Buat masa ini, pergerakan harga emas lebih dipengaruhi oleh minyak berbanding Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS).

“Bagaimanapun, dengan mesyuarat Rizab Persekutuan AS dan pertemuan menteri kewangan G7 di Kanada pada minggu ini, jadual program ekonomi utama minggu ini adalah padat, dan ketidaktentuan dijangka terus meningkat,” kata Innes kepada Bernama.

Beliau berkata harga emas akan berlegar dalam julat yang lebih luas antara US$3,375 hingga US$3,475 bagi setiap auns troy, dengan sebarang penurunan dijangka menarik minat belian susulan kelemahan dolar AS dan kebimbangan berterusan terhadap defisit fiskal AS yang semakin meningkat.

Kontrak bulan semerta Jun 2025 susut kepada US$3,425.2 setiap auns troy daripada US$3,430.2 pada Jumaat manakala Julai 2025 turun kepada US$3,433.7 daripada US$3,438.7 sebelumnya.

Kontrak Ogos, September dan Oktober 2025 merosot kepada US$3,453.2 setiap auns troy daripada US$3,458.2 pada Jumaat.

Jumlah dagangan susut kepada 25 lot berbanding 56 lot pada Jumaat manakala kepentingan terbuka menokok kepada 61 kontrak daripada 50 kontrak.

Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 13 Jun, harga emas fizikal berada pada US$3,435.35 setiap auns troy.

-- BERNAMA