BERITA TERKINI   Rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat, tiada toleransi dalam pentadbiran negara - Agong | Agong zahir amaran ramai lagi dalam radar Seri Paduka Baginda untuk misi perangi rasuah | PDRM rampas vape, bahan cecair vape bernilai lebih RM8.8 juta dalam Op E-Cig Mega serentak di 13 negeri- Datuk Fisol   | Kementerian Komunikasi junjung titah Raja Permaisuri Agong mahu keselamatan kanak-kanak, remaja di alam maya diberi perhatian serius pihak berkuasa - Fahmi | 

Petronas Bakal Guna AI Bagi Sokong Operasi Huluan

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) merancang untuk menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menyokong operasi huluannya, terutamanya dalam pengeluaran minyak dan gas, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik. 

Beliau berkata penggunaan AI akan mempercepatkan proses dan membolehkan penyelesaian hasil tertentu.

“Bagi operasi huluan kami, kami ingin menambah baik masa untuk menyiapkan proses penggerudian, pembangunan, penemuan dan penghantaran pertama bagi gas atau minyak,” katanya pada sesi dialog bertajuk ‘Delivering Asia’s Energy Transition’ pada Persidangan Energy Asia 2025 pada Isnin.  

Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas masih dalam peringkat awal integrasi AI dan sedang giat mempelajarinya daripada penyedia perkhidmatan lain, terutamanya dalam bidang seperti penerokaan metana.

Katanya, AI juga akan membantu Petronas menjadi lebih berorientasikan pelanggan, menawarkan perkhidmatan dan produk yang memenuhi kehendak pelanggan.

“Kami akan perlu memilih dengan lebih berhati-hati mengenai alat dan di mana mereka akan digunakan,” katanya.

Terdahulu, Tengku Muhammad Taufik berkata dunia berada di ambang revolusi perindustrian kelima dan AI dengan pantas menjadi teknologi asas yang amat diperlukan merentas sektor.

-- BERNAMA