BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

BNM, Institusi Kewangan Perlu Bantu Kerajaan Perjelas Langkah-langkah Fiskal - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi kewangan di negara ini digesa untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam meningkatkan pemahaman orang ramai tentang langkah-langkah fiskal yang sedang dilaksanakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama sebegini penting bagi memastikan maklumat tepat dan seimbang sampai kepada rakyat, terutamanya di tengah-tengah usaha pihak tertentu untuk mempolitikkan dasar ekonomi dan mempengaruhi persepsi orang ramai.

“Sebagai contoh, rasionalisasi subsidi, (pembangkang akan kata) negara ini sangat miskin, mereka (kerajaan) menindas rakyat, itu naratif yang anda dapati dalam media sosial. Tetapi program rasionalisasi subsidi RON95 perlu dilaksanakan.

"Jadi ia perlu dijelaskan, dihuraikan dengan baik. Bantu rakyat memahami dengan sebaiknya. Mustahak untuk memastikan bukan sahaja program itu dianggap sebagai dasar yang berkesan atau kukuh, malah dilaksanakan secara berkesan dan difahami oleh majoriti rakyat," kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian menerusi ucaptama beliau pada Simposium SASANA 2025 di Bank Negara Malaysia, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata tidak semua langkah fiskal diperkenalkan kerajaan seperti pelarasan subsidi dan reformasi sistem percukaian adalah satu keputusan popular.

Justeru, katanya, BNM dan institusi perbankan harus memainkan peranan mereka bukan sahaja mendukung perubahan struktur atau anjakan paradigma, tetapi memberi kefahaman kepada masyarakat.

Anwar menerusi ucapannya turut memuji penganjuran Simposium SASANA oleh BNM dan menyifatkannya sebagai satu inisiatif penting menghimpunkan golongan intelek, kerajaan, pemain industri dan ahli akademik untuk melakar hala tuju bagi pembaharuan struktur Malaysia yang berdaya tahan.

Semalam, Perdana Menteri berkata kerajaan komited untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi petrol RON95 dan menegaskan bahawa ia tidak akan menjejaskan 85 hingga 90 peratus daripada penduduk negara.

-- BERNAMA