BERITA TERKINI   GSF 2.0: Lebih 40 peserta dari Malaysia, Indonesia, Pakistan, India, Seri Lanka dan Filipina sertai pelayaran fasa akhir ke Gaza - KP SNCC | GSF 2.0: Seramai 29 peserta Malaysia teruskan pelayaran dari Pelabuhan Marmaris, Turkiye - KP SNCC | Lebih RM15 bilion sokongan pembiayaan disediakan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana pada tahun ini - MoF | Kemudahan pembiayaan mikro RM5 bilion yang diumumkan hari ini adalah berasingan daripada Kemudahan Bantuan Khas PKS RM5 bilion oleh BNM serta RM5 bilion di bawah SJPP - MoF | Kerajaan MADANI sedia kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi 2026, dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro, dengan pinjaman sehingga RM100,000 - MoF | 

Petronas, Commonwealth LNG Memeterai Perjanjian LNG Mampan 20 Tahun

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Petronas LNG Ltd telah memeterai perjanjian jual beli gas asli (LNG) dengan Commonwealth LNG, LLC, untuk mempelbagaikan portfolio LNGnya melalui pembekalan jangka panjang dari Amerika Syarikat.

Petronas melalui satu kenyataan memberitahu ia telah bersetuju untuk membeli satu juta tan setahun (MTPA) LNG dari Commonwealth LNG selama 20 tahun. Bekalan ini datang dari fasiliti Commonwealth LNG di Cameron, Louisiana, yang sekarang ini sedang dibangunkan dan mempunyai kapasiti 9.5 mtpa.

Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan Petronas LNG, Shamsairi M Ibrahim berkata perjanjian itu menggariskan komitmennya bagi memupuk perkongsian global yang akan memastikan bekalan LNG yang boleh dipercayai, mampan dan berjangka panjang kepada pelanggannya.

"Berkolaborasi dengan Commonwealth LNG akan mengembangkan nod bekalan kami dan mengukuhkan kehadiran kami di pasaran LNG global," katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Commonwealth LNG Farhad Ahrabi berkata syarikat itu telah dijemput bagi membantu memperluaskan kejayaan Petronas lebih dari satu abad dalam memenuhi keperluan tenaga global.

Kerjasama ini menandakan satu langkah penting ke arah matlamat bersama untuk menyampaikan penyelesaian tenaga lestari, memajukan kerjasama tenaga strategik, menyumbang kepada keselamatan tenaga serantau dan memperkukuhkan peranan Commonwealth LNG sebagai pemain yang boleh dipercayai dalam landskap LNG global.

Pemeteraian itu diabadikan dalam majlis pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif Petronas LNG, Ezran Mahadzir dan Farhad semasa Energy Asia 2025. 

 Dihoskan oleh Petronas, persidangan Energy Asia berlangsung dari 16 hingga 18 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

-- BERNAMA