BERITA TERKINI   ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | Perjanjian FTA ASEAN-China 3.0 yang bakal dimeterai akhir tahun ini perkukuh kerjasama ekonomi, daya tahan rantau ini - Mohamad Hasan | Hubungan dialog ASEAN dengan China antara perkongsian paling substantif, dinamik - Mohamad Hasan | ASEAN gesa semua pihak urus situasi di Laut China Selatan secara berhemah, hati-hati - Mohamad Hasan | Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov tiba di Malaysia untuk mesyuarat ASEAN peringkat tinggi | 

Perkongsian Swasta-Awam, Infrastruktur Adalah Kunci Kepada Teknologi Digital Dan AI

ISKANDAR PUTERI, 18 Jun, (Bernama) – Masa depan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan teknologi digital generasi akan datang, sangat bergantung pada pengukuhan infrastruktur yang disokong oleh kerjasama antara industri dan kerajaan, kata Pengarah Perundangan Serantau Microsoft Asia Pasifik Jeth Lee.

Beliau berkata kemajuan AI sangat terkait rapat dengan infrastruktur fizikal seperti pusat data, yang amat siginifikan bagi menyokong beban kerja yang semakin meningkat di awan. 

"Kecerdasan buatan tidak beroperasi dalam vakum, beban kerja ini berlaku di awan dan disokong oleh pusat data fizikal," katanya.

Lee berkata demikian ketika bercakap sebagai ahli panel di Forum Nikkei Medini 2025 dalam sesi Memperkasakan Kuasa Pengkomputeran Generasi Akan Datang-Melonjakkan Inovasi Asia dengan AI dan Pusat Data di sini hari ini.

Lee menekankan kepentingan aliran data rentas sempadan serta perkongsian serantau, terutamanya dengan kerajaan seperti Malaysia, yang digambarkannya mempunyai "dasar digital yang berpandangan ke hadapan".

"Ini tidak boleh dipacu oleh sektor swasta sahaja. Perkongsian awam-swasta adalah penting. Negara-negara seperti Malaysia, dengan inisiatif digital berwawasan, memainkan peranan yang amat signifikan dalam memastikan kita dapat membina infrastruktur yang selamat, mampan dan bersambung secara global," katanya.

Dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, kemampanan, keselamatan dan tadbir urus akan menjadi tonggak dalam pembangunan digital.

"Ia adalah perjalanan kepada penubuhan asas. Di luar pemacu ekonomi, kita akan melihat tadbir urus kemampanan dan rentas sempadan sebagai kunci bagi membuka nilai sebenar AI dan teknologi lain," katanya.

Baru-baru ini, Microsoft telah mengumumkan ketersediaan Wilayah Awan Malaysia Barat, yang dilancarkan sebagai sebahagian daripada pelaburan berjumlah US$2.2 bilion di negara ini.

Rantau awan baharu tersebut, yang terletak di Greater Kuala Lumpur, akan menyampaikan infrastruktur pusat data AI bertaraf dunia dan membolehkan organisasi mempercepatkan inovasi dengan selamat, menyokong masa depan yang inklusif, mampan dan siap sedia dengan AI.

-- BERNAMA