BERITA TERKINI   MB Johor nafi desas-desus pembubaran DUN berlaku hari ini | Wartawan perlu dibenarkan bekerja secara profesional dengan pendekatan lebih berhemah oleh pihak berkuasa - Teo Nie Ching | Pihak berkuasa harus mengutamakan dialog berbanding penahanan dan menyelesaikan pertikaian melalui Majlis Media Malaysia untuk menambah baik perundangan kewartawanan -Teo Nie Ching | Forum Media HAWANA penting, memberi ruang untuk mencorakkan masa depan kewartawanan - Teo Nie Ching | Tabung Kasih@HAWANA beri manfaat kepada 728 pengamal media, jumlah sumbangan sebanyak RM1.94 juta setakat 30 April 2026 - Teo Nie Ching | 

Malaysia Terus Tarik Pelaburan Intel, Vishay Perluas Operasi Dalam Negara - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengadakan perbincangan dengan syarikat terkemuka Intel berkenaan dengan perancangan pelaburan semula dan pengembangan operasinya di Malaysia. 

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Intel telah melabur sejumlah RM50 bilion dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi 12,300 penduduk tempatan.

“Kehadiran Intel di Malaysia sejak 1972 seiring dengan kebangkitan Malaysia sebagai hab semikonduktor global.

“Perjumpaan ini adalah bukti kepercayaan berterusan Intel terhadap Malaysia sebagai hab pelaburan utama di luar Amerika Syarikat,” katanya menerusi hantaran di laman sosial X hari ini.

Beliau berkata kerajaan Malaysia, melalui MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), komited sepenuhnya untuk menyokong pengembangan Intel di negara ini.

“Berlandaskan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), kami akan terus memperkukuh ekosistem perindustrian yang mampan dan berdaya saing,” katanya.

Menerusi satu hantaran lain, Tengku Zafrul berkata Malaysia terus menarik perhatian pelabur antarabangsa.

“Pengeluar Amerika bagi semikonduktor diskret dan komponen elektronik pasif, Vishay Intertechnology berhasrat untuk meluaskan operasinya di Malaysia.

“Buat masa ini mereka telah bertapak di Melaka. Peningkatan lebih banyak fasiliti semikonduktor berteknologi tinggi adalah sejajar dengan NIMP2030 dan NSS,” katanya.

-- BERNAMA